Kerjasama ini dimeterai dalam satu majlis yang disaksikan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Memetik kenyataan media bersama, inisiatif ini dijangka dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan data yang kukuh, selaras dengan agenda transformasi digital Malaysia.
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Bersama BA Group, Datuk Lion Peh berkata kerjasama dengan YTL Communications menandakan satu pencapaian penting dalam merubah landskap telekomunikasi.
"Bersama-sama, kami berhasrat untuk membangunkan infrastruktur fiber bersama yang bukan sahaja meningkatkan kecekapan perkhidmatan data tetapi juga melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa digital di Asia Tenggara," katanya dalam kenyataan tersebut.
Sementara itu, Pengarah Urusan YTL Communications dan YTL Power, Datuk Seri Yeoh Seok Hong menekankan peranan penting Johor dalam ekonomi digital, dengan menyatakan bahawa negeri itu telah menjadi hab utama pusat data.
"Dengan Johor sebagai hab utama pusat data, usaha sama ini akan melabur dan membangunkan kerangka asas fiber yang diperlukan untuk merealisasikan ekonomi digital baharu, sekali gus memacu pertumbuhan dan penggunaan perkhidmatan digital serta teknologi canggih secara eksponen," katanya.
Usaha sama ini bertujuan untuk melaksanakan rangkaian fiber optik secara bersama yang direka bagi meningkatkan keupayaan penghantaran data, meningkatkan kecekapan kos untuk pengendali telekomunikasi serta mengurangkan pertindihan infrastruktur.
Antara manfaat utama yang diketengahkan termasuk peningkatan keterhubungan, rangkaian yang lebih lestari, serta kesiapsiagaan terhadap teknologi baharu seperti 5G, kecerdasan buatan (AI) dan Internet of Things (IoT).
Pembangunan infrastruktur fiber ini dijadual bermula pada suku pertama 2025, dengan liputan awal merangkumi kawasan perbandaran utama di Johor, termasuk beberapa kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.
Pada masa sama, kedua-dua syarikat yakin projek ini akan mewujudkan peluang ekonomi yang signifikan dan mempercepatkan kemajuan digital Malaysia.
