Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 4.73 mata kepada 1,569.00 daripada 1,573.73 pada Jumaat lepas.
Pada sesi pembukaan, indeks petunjuk pasaran berkurangan 0.42 mata kepada 1,573.31.
Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 262 berbanding 73 manakala 244 kaunter tidak berubah, 1,769 tidak diniagakan dan 60 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 161.03 juta saham bernilai RM79.31 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mencatatkan penurunan pada Jumaat lepas apabila ketiga-tiga indeks utama ditutup rendah selepas meningkat yang dipacu oleh saham teknologi.
"Di peringkat tempatan, FBM KLCI mencatatkan prestasi tidak menentu, ditutup di bawah paras 1,575 minggu lepas, berkemungkinan terjejas oleh jualan asing.
"Kenaikan yang dinanti-nantikan menjelang Tahun Baharu Cina mungkin sukar dicapai buat masa ini. Bagaimanapun, Moody's yang mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada 'A3' - tahap sederhana atas dengan risiko kredit rendah - menunjukkan negara kekal sesuai untuk pelaburan," katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot empat sen kepada RM10.36, Public Bank mendatar pada RM4.33, CIMB dan IHH Healthcare, masing-masing berkurangan tiga sen kepada RM7.98 dan RM7.16 manakala Tenaga Nasional susut dua sen kepada RM13.74.
Bagi saham aktif, Talam Transform dan Metronic, masing-masing merosot setengah sen kepada dua sen dan 1.5 sen. Oriental Kopi berkurangan dua sen kepada 83 sen, CBH Engineering susut satu sen kepada 34.5 sen dan Harvest Miracle tidak berubah pada 18 sen.
Dalam pasaran secara menyeluruh, Indeks FBM Emas merosot 47.80 mata kepada 11,987.79, Indeks FBMT 100 susut 45.79 mata kepada 11,679.73 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh 50.48 mata kepada 11,864.40.
Indeks FBM ACE berkurangan 12.84 mata kepada 5,197.69 manakala Indeks FBM 70 susut 109.25 mata kepada 17,797.10.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 40.43 mata kepada 18,856.06, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.82 mata kepada 167.87, Indeks Perladangan susut 11.84 mata kepada 7,407.61 dan Indeks Tenaga turun 5.29 mata kepada 832.77.
-- BERNAMA