KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini walaupun Wall Street mencatatkan kenaikan pada Jumaat lepas berikutan ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell yang menekankan prospek ekonomi kukuh di sebalik kebimbangan mengenai inflasi yang tinggi dalam persekitaran dasar perdagangan baharu.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 7.85 mata kepada 1,539.42 daripada 1,547.27 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.69 mata kepada 1,545.58.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 184 berbanding 126, dengan 275 kaunter tidak berubah, 1,797 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 209.58 juta saham bernilai RM93.62 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, walaupun prestasi Wall Street positif pada Jumaat lepas, pasaran Eropah dan Asia ditutup rendah.

"Minggu ini, peniaga akan memantau data pembukaan pekerjaan dan tinjauan perolehan tenaga kerja AS; data inflasi AS; Indeks Harga Pengeluar AS; tuntutan pengangguran AS; sentimen pengguna awal dari University of Michigan (UoM) dan jangkaan inflasi awal UoM," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, IHH Healthcare menambah empat sen kepada RM7.30, Maybank merosot 10 sen kepada RM10.54, Public Bank berkurangan tiga sen kepada RM4.52, CIMB susut dua sen kepada RM7.50 dan Tenaga Nasional merosot 20 sen kepada RM13.54.

Bagi saham aktif, SNS Network Technology naik 2.5 sen kepada 43 sen, Sapura Energy berkurangan setengah sen kepada tiga sen manakala NexG, My EG Services dan Elridge Energy Holdings, masing-masing mendatar pada 27 sen, 90 sen dan 47.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 41.88 mata kepada 11,478.92, Indeks FBMT 100 merosot 45.04 mata kepada 11,250.51, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 41.21 mata kepada 11,138.74, Indeks FBM 70 turun 16.0 mata kepada 16,326.47 dan Indeks FBM ACE merosot 9.95 mata kepada 4,577.84.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.32 mata kepada 154.91, Indeks Tenaga susut 0.04 mata kepada 715.0 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 87.53 mata kepada 18,979.15, bagaimanapun Indeks Perladangan meningkat 6.16 mata kepada 7,486.24.

-- BERNAMA