KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi awal dagangan Selasa, menjejaki penurunan Wall Street semalaman disebabkan kebimbangan perang perdagangan semakin meningkat selepas Amerika Syarikat (AS) mengesahkan akan mengenakan tarif ke atas Mexico, Kanada dan China.


Ringkasan AI
  • Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi awal dagangan Selasa, menjejaki penurunan Wall Street disebabkan kebimbangan perang perdagangan.
  • Indeks FBM KLCI susut 10.84 mata atau 0.69 peratus kepada 1,560.55, dengan kaunter rugi mengatasi untung.
  • Pengenaan tarif terhadap Mexico, Kanada, dan China berkuat kuasa hari ini, sementara data menunjukkan ekonomi AS semakin lemah.


Pada jam 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 10.84 mata atau 0.69 peratus kepada 1,560.55 daripada penutup semalam pada 1,571.39.

Indeks dibuka 9.69 mata lebih rendah pada 1,561.70.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 449 berbanding 60, sebanyak 215 kaunter tidak berubah, 1,607 tidak didagangkan manakala enam lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 265.06 juta unit bernilai RM150.21 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pengenaan tarif terhadap Mexico, Kanada dan China berkuat kuasa hari ini.

"Sementara itu, data terkini daripada sektor pembuatan dan pembinaan menunjukkan ekonomi AS yang semakin lemah, membawa kepada penurunan dalam hasil 10 tahun AS kepada 4.159 peratus," katanya kepada Bernama.

Di Hong Kong, beliau berkata Indeks Hang Seng bertambah baik tetapi kekal pada paras tertinggi hari ini kerana pelabur kekal berhati-hati dalam persekitaran ketidaktentuan pasaran yang meningkat.

"Bagaimanapun, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China yang semakin baik untuk Februari meningkatkan sentimen pasaran," katanya.

Di peringkat tempatan, Thong berkata penurunan Bursa Malaysia semalam menunjukkan indeks akan berlegar dalam julat 1,565-1,575 hari ini.

Dalam saham wajaran tinggi, Maybank turun 4.0 sen kepada RM10.64, Public Bank merosot 1.0 sen kepada RM4.55 dan Tenaga Nasional jatuh 10 sen kepada RM13.60 manakala CIMB dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM8.00 dan RM7.42.

Bagi saham aktif, Silver Ridge meningkat 0.5 sen kepada 56.5 sen, Ingenieur Gudang susut 0.5 sen kepada 3.0 sen, Genting Malaysia turun 8.0 sen kepada RM1.82, Leong Hup International merosot 1.0 sen kepada 64 sen manakala TWL Holdings tidak berubah pada 2.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas berkurangan 103.26 mata kepada 11,608.63, Indeks FBMT 100 merosot 99.55 mata kepada 11,379.82 dan Indeks FBM Emas Shariah kehilangan 122.51 mata kepada 11,225.52, Indeks FBM 70 merosot 225.59 mata kepada 16,413.79 dan Indeks FBM ACE susut 55.31 mata kepada 4,636.76.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 2.22 mata kepada 154.31, Indeks Tenaga susut 6.75 mata kepada 748.80, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 89.83 mata kepada 19,294.20 dan Indeks Perladangan berkurangan 35.48 mata kepada 7,484.21.

Sementara itu, Bursa Malaysia dalam makluman hari ini berkata dagangan dalam sekuriti berkaitan Nationgate dihentikan mulai 9.00 pagi dan disambung semula pada 10.00 pagi.

-- BERNAMA