Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.41 mata kepada 1,584.30 daripada paras 1,588.71 yang dicatatkan semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka turun 0.72 mata kepada 1,587.99.
Bagaimanapun pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 177 berbanding 133 manakala 225 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,853 tidak diniagakan dan 97 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 125.38 juta saham bernilai RM98.96 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup bercampur-campur walaupun dibuka tinggi susulan sentimen terus diasak perbincangan mengenai kemungkinan lebih banyak tarif ke atas Kesatuan Eropah (EU).
Pandangan kurang optimis terhadap ekonomi Amerika Syarikat (AS) pula menyaksikan hasil Perbendaharaan 10 tahun terus berkurangan kepada 4.256 peratus.
"Di peringkat tempatan, indeks petunjuk utama Bursa Malaysia FBM KLCI naik 20 mata, sekali gus mengatasi penurunan semalam. Kami sendiri agak terkejut dengan peningkatan ketara bursa yang sebahagiannya disebabkan oleh aliran menaik serantau.
"Kami menjangkakan keadaan itu dibantu oleh pembeli yang didorong unjuran lebih positif terhadap keputusan prestasi kewangan korporat domestik yang lebih baik bagi 2024," katanya kepada Bernama.
Susulan itu, Thong menjangkakan indeks penanda aras itu akan berada dalam julat 1,590-1,600 dalam dagangan hari ini.
Selain itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank tidak berubah pada RM10.70, CIMB berkurangan dua sen kepada RM8.26, Public Bank susut lima sen kepada RM4.50, Tenaga Nasional turun enam sen kepada RM13.52 dan IHH Healthcare menguncup empat sen kepada RM7.26.
Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang, Sapura Energy dan RGB International menokok setengah sen masing-masing kepada 4.5 sen, 3.5 sen and 41 sen manakala Nationgate meraih tujuh sen kepada RM1.93 dan My E.G. Services menokok 1.5 sen kepada 96.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas berkurangan 6.89 mata kepada 11,877.38 dan Indeks FBMT 100 susut 10.13 mata kepada 11,628.92.
Indeks FBM Emas Syariah sebaliknya meningkat 7.45 mata kepada 11,540.03, Indeks FBM 70 melonjak 73.50 mata kepada 17,076.84 dan Indeks FBM ACE menokok 12.27 mata kepada 4,811.16.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 75.23 mata kepada 19,402.32 manakala Indeks Perladangan susut 8.11 mata kepada 7,533.95.
Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.92 mata kepada 160.31 manakala Indeks Tenaga meraih 0.48 mata kepada 763.10.
-- BERNAMA
