KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka tinggi sedikit tetapi beralih kepada rendah kemudiannya, didorong oleh sentimen berhati-hati berikutan prestasi Wall Street yang bercampur-campur pada Jumaat lepas.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 2.62 mata kepada 1,588.98 daripada 1,591.60 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.88 mata kepada 1,592.48.

Suasana pasaran negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 185 berbanding 108 manakala 315 kaunter tidak berubah, 1,700 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 197.34 juta unit bernilai RM80.68 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka indeks FBM KLCI diniagakan dalam julat 1,585 hingga 1,595 hari ini.

Beliau berkata petunjuk daripada Wall Street bercampur-campur berikutan peniaga memilih untuk tidak mengambil kira data jualan runcit pada Januari yang lebih rendah daripada jangkaan, menunjukkan pengguna mula mengurangkan perbelanjaan.

"Sementara itu, hasil untuk tempoh 10 tahun Amerika Syarikat (AS) terus susut kepada 4.478 peratus," katanya kepada Bernama.

Pasaran AS akan ditutup hari ini bersempena cuti umum Hari Presiden.

Thong berkata tumpuan kini pada pertemuan syarikat gergasi teknologi China di Beijing hari ini, yang akan membincangkan trend industri, dasar kerajaan dan potensi kerjasama.

"Walaupun prestasi indeks petunjuk pasaran agak tidak menentu, kami yakin pulangan daripada aktiviti belian di Hong Kong menunjukkan Asia menjadi destinasi pilihan untuk dana asing dan ASEAN akan mendapat manfaat dalam tempoh terdekat," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot empat sen kepada RM10.52, Public Bank berkurangan tiga sen kepada RM4.46 dan Tenaga Nasional susut dua sen kepada RM13.88 manakala CIMB dan IHH Healthcare, masing-masing mendatar pada RM8.35 dan RM7.27.

Harvest Miracle menerajui kaunter aktif, menambah satu sen kepada 16 sen dan Silver Ridge meningkat setengah sen kepada 57.5 sen manakala TWL Holdings mendatar pada 2.5 sen dan Aizo Group berkurangan setengah sen kepada 11 sen.

Richtech Digital yang mula disenaraikan naik 31.5 sen kepada 56.5 sen dengan 19.38 juta saham bertukar tangan.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 23.69 mata kepada 12,082.92, Indeks FBMT 100 merosot 24.77 mata kepada 11,789.18 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 13.38 mata kepada 11,834.13.

Indeks FBM 70 jatuh 58.28 mata kepada 17,812.95, bagaimanapun Indeks FBM ACE naik 0.11 mata kepada 5,134.89.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 1.94 mata kepada 7,456.86 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan mendatar pada 163.99.

Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 69.08 mata kepada 19,273.56 dan Indeks Tenaga berkurangan 2.37 mata kepada 796.18.

-- BERNAMA