KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka mengalami dagangan secara berhati-hati minggu hadapan menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat yang pertama bagi 2025 pada 28 dan 29 Januari.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata permintaan dijangka berkurangan minggu hadapan susulan perayaan Tahun Baharu Cina.

"Minggu hadapan, FBM KLCI dijangka mengalami pendekatan pelabur yang berhati-hati sementara menunggu hasil mesyuarat FOMC. Minggu dagangan singkat susulan cuti umum Tahun Baharu Cina mungkin menjejaskan aktiviti pasaran, dengan jumlah dagangan dijangka rendah dan pergerakan pula mungkin terhad," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata memandangkan musim cuti perayaan Tahun Baru Lunar di China, kebanyakan data utama dijadual dikeluarkan pada Isnin termasuk Indeks Pengurus Pembelian bagi pembuatan dan angka kemudahan pinjaman jangka sederhana (MLF).

Bagi AS, data utama Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) yang akan dikeluarkan pada 31 Januari dijangka mendapat perhatian. katanya.

Mohd Sedek berpendapat walaupun dasar Presiden AS Donald Trump banyak menyokong sentimen global namun, ekonomi Malaysia dijangka meraih manfaat daripada asas domestik yang kukuh, permintaan berterusan dari China, dan keadaan kecairan global yang semakin baik.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI naik 7.01 mata kepada 1,573.73 daripada 1,566.72 pada minggu lepas.

Indeks FBM Emas menokok 26.76 mata kepada 12,035.59; Indeks FBMT 100 naik 29.55 mata kepada 11,725.52 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 49.22 mata kepada 11,914.88.

Indeks FBM ACE naik 34.27 mata kepada 5,210.53 manakala Indeks FBM 70 susut 39.53 mata kepada 17,906.35.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 87.62 mata kepada 18,896.49, Indeks Perladangan menambah 83.01 mata kepada 7,419.45, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.04 mata kepada 168.69.

Bagaimanapun, Indeks Tenaga merosot 2.49 mata kepada 838.06, Indeks Penjagaan Kesihatan susut 8.81 mata kepada 2,183.17, dan Indeks Teknologi berkurangam 0.64 mata kepada 60.10.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 15.58 bilion unit bernilai RM13.10 bilion minggu ini daripada 16.31 bilion unit bernilai RM14.50 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama sebanyak 6.76 bilion unit bernilai RM10.97 bilion berbanding 8.41 bilion unit bernilai RM13.19 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan Waran turun kepada 5.18 bilion unit bernilai RM531.09 juta daripada 5.24 bilion unit bernilai RM497.54 juta minggu lepas,

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula melonjak kepada 3.62 bilion unit bernilai RM1.59 bilion daripada 2.55 bilion unit bernilai RM811.14 juta.

-- BERNAMA