KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan jualan selepas meningkat selama empat hari berikutan aktiviti pengambilan untung dalam persekitaran kebanyakan pasaran serantau yang lemah, kata penganalisis.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 10.60 mata atau 0.66 peratus kepada 1,577.20 daripada 1,587.80 semalam.

Indeks dibuka rendah 1.28 mata kepada 1,586.52 dan bergerak antara 1,575.67 dan 1,586.52 pada sesi tersebut.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 671 berbanding 283 manakala 503 kaunter tidak berubah, 940 tidak diniagakan dan 83 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 3.23 bilion unit bernilai RM2.74 bilion daripada 2.99 bilion unit bernilai RM2.24 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks petunjuk pasaran lengang selepas mencatatkan kenaikan selama empat hari berturut-turut berikutan pelabur mengambil keuntungan.

"Kami melihat ini sebagai pembetulan yang baik, memberi peluang kepada pasaran untuk menyerap trend kenaikan baru-baru ini dan menyajikan peluang untuk membeli saham pada tahap lebih rendah," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata prospek keseluruhan menunjukkan berhati-hati dalam jangka pendek tetapi kekal positif dalam jangka panjang, berdasarkan paras sokongan utama yang kekal utuh.

"Kami menjangka FBM KLCI diniagakan dalam julat 1,570 hingga 1,590 menjelang hujung minggu," katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata selain aktiviti pengambilan untung, pelabur memberi respons terhadap pengumuman Presiden AS Donald Trump mengenai projek kecerdasan buatan (AI) Stargate.

"Reaksi pasaran terhadap berita ini adalah positif, dengan pelabur menjangka potensi peluang untuk meraih pendapatan daripada kenaikan harga saham semalaman.

"Bagaimanapun, terdapat juga kebimbangan mengenai potensi impak daripada projek Stargate ke atas pusat data di Malaysia," katanya.

Beliau berkata pelabur akan memantau pengumuman tuntutan pengangguran awal AS lewat hari ini berikutan ia akan memberikan pandangan mengenai kedudukan pasaran tenaga kerja AS dan mempengaruhi sentimen pasaran dalam jangka masa pendek.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank merosot enam sen kepada RM4.34, CIMB berkurangan sembilan sen kepada RM7.97, IHH Healthcare susut satu sen kepada RM7.17 dan Tenaga Nasional turun lapan sen kepada RM13.80 manakala Maybank mendatar pada RM10.36.

Bagi saham aktif, Oriental Kopi Holdings melonjak 43.5 sen kepada 87.5 sen, Harvest Miracle Capital naik setengah sen kepada 18 sen, Swift Energy Technology dan PUC, masing-masing mendatar pada 36.5 sen dan 4.5 sen manakala Gamuda berkurangan enam sen kepada RM4.29.

Dalam pasaran secara menyeluruh, Indeks FBM Emas jatuh 76.80 mata kepada 12,082.77, Indeks FBMT 100 berkurangan 73.02 mata kepada 11,768.80, Indeks FBM Emas Shariah merosot 85.20 mata kepada 11,950.10, Indeks FBM ACE susut 13.23 mata kepada 5,225.36 dan Indeks FBM 70 merosot 89.19 mata kepada 18,037.61.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga berkurangan 12.38 mata kepada 842.64, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 83.08 mata kepada 18,862.34, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 1.29 mata kepada 168.92 dan Indeks Perladangan turun 15.02 mata kepada 7,406.68.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.07 bilion unit bernilai RM1.80 bilion daripada 1.28 bilion unit bernilai RM1.96 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 801.86 juta unit bernilai RM88.14 juta daripada 1.13 bilion unit bernilai RM112.48 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 1.36 bilion unit bernilai RM852.76 juta daripada 541.74 juta unit bernilai RM162.58 juta semalam.

Kaunter barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 180.86 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (178.11 juta), pembinaan (76.57 juta), teknologi (135.89 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (53.45 juta), hartanah (164.10 juta), perladangan (19.85 juta), REIT (14.28 juta), dana tertutup (191,100), tenaga (119.88 juta), penjagaan kesihatan (37.72 juta), telekomunikasi dan media (22.61 juta), pengangkutan dan logistik (16.44 juta), utiliti (49.56 juta) dan amanah perniagaan (5,600).

-- BERNAMA