KUALA LUMPUR: Aktiviti pengambilan untung yang berterusan untuk hari kedua berturut-turut mengasak Bursa Malaysia untuk ditutup rendah hari ini berikutan pelabur bersiap sedia dengan jadual dagangan singkat minggu depan, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.47 mata mewakili 0.22 peratus kepada 1,573.73 daripada 1,577.20 ketika ditutup semalam.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka 0.30 mata lebih tinggi pada 1,577.50 dan bergerak antara 1,566.84 dan 1,577.50 sepanjang hari.

Lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 654 berbanding 314, manakala 491 kaunter tidak berubah, 962 tidak diniagakan dan 133 digantung.

Jumlah dagangan lebih rendah pada 3.0 bilion unit bernilai RM3.06 bilion daripada 3.23 bilion unit bernilai RM2.74 bilion pada Khamis.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata data ekonomi utama dari China, termasuk angka PMI pembuatan dan kemudahan pinjaman jangka sederhana (MLF), akan dikeluarkan pada Isnin, bersama-sama mesyuarat pertama Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) 2025 yang dijadualkan pada 28-29 Jan.

"Berikutan itu, kami melihat para pelabur mula mengaut keuntungan menjelang peristiwa penting tersebut," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata keputusan Bank of Japan (BOJ) hari ini untuk menaikkan kadar faedah penanda aras daripada 0.25 peratus kepada 0.5 peratus mempengaruhi sentimen serantau.

"Bagaimanapun, kesannya ke atas pasaran ekuiti agak tidak ketara berbanding kenaikan kadar sebelum ini pada Ogos," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI berakhir lebih rendah hari ini, diheret oleh tekanan jualan yang tinggi di kaunter YTL.

YTL Corp susut 26 sen kepada RM2.12 dan YTL Power International turun 44 sen kepada RM3.61, mengheret indeks komposit turun sebanyak 11.04 mata.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank susut satu sen kepada RM4.33, Tenaga Nasional turun empat sen kepada RM13.76, manakala Maybank dan CIMB menokok masing-masing empat sen kepada RM10.40 dan RM8.01, dan IHH Healthcare naik dua sen kepada RM7.19.

Bagi saham aktif, Oriental Kopi Holdings turun 2.5 sen kepada 85 sen, Gamuda susut 10 sen kepada RM4.19, EA Holdings merosot setengah sen kepada setengah sen, CBH Engineering Holding turun 1.5 sen kepada 35.5 sen, manakala Borneo Oil tidak berubah pada satu sen.

Dalam pasaran secara menyeluruh, Indeks FBM Emas susut 47.18 mata kepada 12,035.59, Indeks FBMT 100 merosot 43.28 mata kepada 11,725.52, Indeks FBM Emas Shariah turun 35.22 mata kepada 11,914.88, Indeks FBM ACE turun 14.83 mata kepada 5,210.53 dan Indeks FBM 70 susut 131.26 mata kepada 17,906.35.

Dari segi sektor, Indeks Tenaga susut 4.58 mata kepada 838.06, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.23 mata kepada 168.69, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 34.15 mata kepada 18,896.49 dan Indeks Perladangan naik 12.74 mata kepada lebih tinggi kepada 7,419.45.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 1.36 bilion unit bernilai RM2.72 bilion berbanding 1.07 bilion unit bernilai RM1.80 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.10 bilion unit bernilai RM108.61 juta berbanding 801.86 juta unit bernilai RM88.14 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 538.96 juta unit bernilai RM228.46 juta daripada 1.36 bilion unit bernilai RM852.76 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 145.06 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (236.06 juta), pembinaan (133.53 juta), teknologi (143.08 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (64.28 juta), hartanah (161.67 juta), perladangan (21.18 juta), REIT (13.19 juta), dana tertutup (55,700), tenaga (143,56 juta), penjagaan kesihatan (54,88 juta), telekomunikasi dan media (23.34 juta), pengangkutan dan logistik (45.78 juta), utiliti (177.74 juta), dan amanah perniagaan (20,700).

-- BERNAMA