KUALA LUMPUR: Indeks penanda aras Bursa Malaysia berakhir dengan prestasi rendah pada Khamis, diseret turun oleh tekanan jualan yang berterusan ke atas saham berwajaran tinggi terpilih, didahului sektor perkhidmatan kewangan.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.51 mata atau 0.35 peratus kepada 1,558.91 daripada 1,564.42 ketika ditutup semalam.

Indeks pandu pasaran itu dibuka 4.53 mata lebih tinggi kepada 1,568.95, dan bergerak antara 1,554.85 hingga 1,569.43 sepanjang dagangan hari ini.

Bagaimanapun bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 584 berbanding 393, manakala 452 kaunter tidak berubah, 913 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 2.98 bilion unit bernilai RM2.67 bilion daripada 3.15 bilion unit bernilai RM2.74 bilion semalam.

CIMB yang susut 30 sen kepada RM7.50, Hong Leong Bank merosot 40 sen kepada RM20.90, dan Public Bank menguncup empat sen kepada RM4.59, secara kolektif menurunkan indeks komposit sebanyak 8.25 mata.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup rendah hari ini dan tidak dapat mengekalkan momentum awal terutama kerana penurunan yang dialami saham kewangan.

Beliau berkata bagaimanapun, penurunan itu mungkin bersifat sementara memandangkan asas sektor itu kekal kukuh.

"Pertumbuhan pinjaman dalam kalangan institusi kewangan kekal pada satu digit pertengahan bagi Januari dan dijangka meningkat sepanjang 2025, disokong oleh perkembangan dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura serta agenda memajukan perindustrian dan ekonomi oleh kerajaan Malaysia.

"Pada Januari, pinjaman yang dicatatkan keseluruhan sektor meningkat sebanyak 5.7 peratus tahun ke tahun, manakala deposit bank naik 3.1 peratus dalam tempoh yang sama," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata walaupun indeks secara keseluruhannya ditutup rendah namun, aktiviti dagangan menunjukkan tanda-tanda peningkatan semula dengan kebanyakan saham komponen FBM KLCI meneruskan kenaikan semula daripada sesi sebelumnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Gamuda susut 11 sen kepada RM4.13, CelcomDigi turun empat sen kepada RM3.55, Maybank turun dua sen kepada RM10.56.

Bagaimanapun, Maxis meningkat 14 sen kepada RM3.50 dan Sime Darby naik sembilan sen kepada RM2.14.

Antara saham aktif, MyEG Services menambah enam sen kepada 97 sen, G3 Global kekal mendatar pada satu sen, sementara NexG dan OCR Group masing-masing menokok setengah sen kepada 26.5 sen dan 3.5 sen, serta NationGate menambah satu sen kepada RM1.42.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 10.65 mata kepada 11,603.34, Indeks FBMT 100 turun 16.98 mata kepada 11,380.30, manakala Indeks FBM Emas Shariah menokok 54.22 mata kepada 11,299.93.

Indeks FBM ACE naik 10.57 mata kepada 4,596.85, dan Indeks FBM 70 menambah 68.37 mata kepada 16,464.42.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 229.48 mata kepada 19,073.47, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.19 mata kepada 156.65.

Indeks Tenaga kurang 4.06 mata kepada 723.60, namun Indeks Perladangan menokok 57.39 mata kepada 7,566.86.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.63 bilion unit bernilai RM2.44 bilion daripada 1.68 bilion unit bernilai RM2.49 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran susut kepada 1.03 bilion unit bernilai RM122.82 juta daripada 1.10 bilion unit bernilai RM128.53 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 313.62 juta unit bernilai RM111.93 juta berbanding 357.24 juta unit bernilai RM119.96 juta sebelum ini.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 270.28 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (218.01 juta), pembinaan (152.10 juta), teknologi (369.14 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (153.20 juta), hartanah (138.86 juta), perladangan (24.76 juta), REIT (11.72 juta), dana tertutup (30,800), tenaga (123.45 juta), penjagaan kesihatan (72.12 juta), telekomunikasi dan media (26.08 juta), pengangkutan dan logistik (31.0 juta), utiliti (42.67 juta), dan amanah perniagaan (44,500).

-- BERNAMA