KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia mengalami penurunan berbanding kenaikan semalam untuk ditutup lebih rendah pada Khamis apabila pelabur mengambil pendekatan mengelak risiko berikutan ketidaktentuan luaran yang semakin meningkat, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.11 mata kepada 1,586.60 daripada 1,588.71 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 0.72 mata lebih rendah pada 1,587.99 dan bergerak antara 1,583.45 dan 1,588.29 sepanjang hari.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 573 berbanding 419 manakala 484 kaunter tidak berubah, 912 kaunter tidak diniagakan dan 97 kaunter yang lain digantung.


Jumlah dagangan naik kepada 2.89 bilion unit bernilai RM2.45 bilion daripada 2.81 bilion unit bernilai RM2.47 bilion pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata sektor teknologi serta produk dan perkhidmatan industri menunjukkan daya tahan yang berterusan.



"Kami percaya pemulihan sektor ini disokong oleh prestasi pendapatan kukuh Nvidia yang melepasi jangkaan pasaran.

"Ini meningkatkan sentimen dalam sektor teknologi dan kecerdasan buatan (AI). Penurunan mendadak harga minyak juga berkemungkinan dapat mengurangkan tekanan dalam kos operasi pada 2025," katanya kepada Bernama.


Beliau berkata FBM KLCI masih belum melepasi paras 1,590 sekali gus menunjukkan pasaran akan terus mengukuh dan kekal sensitif terhadap sebarang berita negatif.

Namun, hal ini mungkin berubah disebabkan oleh musim pendapatan yang berterusan, katanya.


Di Bursa Malaysia, saham wajaran tinggi Maybank merosot empat sen kepada RM10.66, CIMB dan Public Bank masing-masing turun enam sen kepada RM8.22 dan RM4.49, Tenaga Nasional merosot dua sen kepada RM13.56 manakala IHH Healthcare naik satu sen kepada RM7.31.


Bagi saham aktif, Sapura Energy dan My E.G. Services masing-masing menokok setengah sen kepada 3.5 sen dan 95.5 sen, NEXG (dahulunya Datasonic) turun dua sen kepada 25.5 sen, Inari Amertron meningkat tiga sen kepada RM2.19 dan Ingenieur Gudang kekal pada empat sen.






Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 35.68 mata kepada 11,919.95, Indeks FBMT 100 berkembang 27.92 mata kepada 11,666.97, Indeks FBM Emas Shariah bertambah 63.22 mata kepada 11,595.80, Indeks FBM 70 melonjak 213.57 mata kepada 17,216.91 dan Indeks FBM ACE menokok 25.08 mata kepada 4,823.97.


Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 2.74 mata kepada 162.13, Indeks Perladangan berkembang 39.79 mata kepada 7,581.85 dan Indeks Tenaga bertambah 4.58 mata kepada 767.20, tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 61.11 mata kepada 19,416.44.


Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.65 bilion unit bernilai RM2.21 bilion daripada 1.58 bilion unit bernilai RM2.23 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran berkembang kepada 914.73 juta unit bernilai RM127.51 juta daripada 818.87 juta unit bernilai RM100.62 juta sebelumnya.


Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 320.50 juta unit bernilai RM107.68 juta daripada 414.92 juta unit bernilai RM138.96 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 187.65 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (258.49 juta), pembinaan (112.76 juta), teknologi (254.87 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (87.11 juta), hartanah (141.34 juta), perladangan (25.32 juta), REIT (16.70 juta), dana tertutup (31,200), tenaga (414.83 juta), penjagaan kesihatan (49.10 juta), telekomunikasi dan media (33.64 juta), pengangkutan dan logistik (27.82 juta), utiliti (44.84 juta) serta amanah perniagaan (127,600).

-- BERNAMA