KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi berikutan pembelian meluas ketika sesi akhir, dengan petunjuk pasaran menamatkan dagangan pada paras tertinggi harian, dipacu oleh saham-saham tenaga, kata penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.67 peratus atau 10.66 mata kepada 1,585.17 daripada 1,574.51 semasa ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran dibuka mengukuh 1.92 mata kepada 1,576.43 dan mencecah paras rendah 1,573.90 pada sesi awal sebelum memperlihatkan aliran meningkat yang berterusan pada sesi tengah hari.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 485 berbanding 391 manakala 511 kaunter tidak berubah, 914 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.93 bilion unit bernilai RM2.10 bilion berbanding 2.86 bilion unit bernilai RM2.32 bilion pada Rabu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau turut optimis, didorong oleh pembelian kukuh dalam saham teknologi dan kenderaan elektrik.

Daya tahan sektor kecerdasan buatan (AI) China telah mengukuhkan keyakinan pelabur walaupun dengan pengenaan tarif 10 peratus ke atas barangan China oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Thong berkata keyakinan terhadap DeepSeek, syarikat perisian AI dari China telah membantu mengimbangi kebimbangan berkaitan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat antara AS dan China.

"Walaupun sentimen pelabur semakin baik, kami kekal yakin namun berhati-hati terhadap pasaran tempatan berikutan hala tuju tempoh terdekat yang masih banyak dipengaruhi oleh ketidaktentuan serantau dan global.

"Bagaimanapun, kami menjangka FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,570-1,590 menjelang hujung minggu ini," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pelabur di rantau ini berpendirian mengambil risiko setelah menyaksikan bahawa tarif perdagangan AS-China tidak mencetuskan penularan pasaran yang lebih luas.

"Aktiviti belian semasa harga rendah berterusan dalam syarikat berkaitan pusat data, mencerminkan minat pelabur yang berterusan dalam sektor itu," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 8.0 sen kepada RM10.42,Petronas Gas melonjak 44 sen kepada RM17.80, CelcomDigi naik 6.0 sen kepada RM3.82, Tenaga Nasional menokok 10.0 sen kepada RM13.72 dan Petronas Chemicals meningkat 7.0 sen kepada RM4.40.

Bagi kebanyakan saham aktif, Borneo Oil tidak berubah pada 1.0 sen, Northern Solar yang mula disenaraikan di Pasaran ACE menokok 16.0 sen kepada 79.0 sen, MYEG naik 1.5 sen kepada 98.5 sen,Ingenieur Gudang menambah 1.0 sen kepada 5.5 sen dan Velesto Energy tidak berubah pada 19.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 67.66 mata kepada 12,091.40, Indeks FBMT 100 melonjak 69.07 mata kepada 11,784.94 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 70.15 mata kepada 11,941.19.

Indeks FBM 70 meningkat 64.97 mata kepada 17,900.96 dan Indeks FBM ACE merosot 23.00 mata kepada 5,264.51.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 88.01 mata kepada 19,149.74, Indeks Perladangan menambah 37.09 mata kepada 7,468.34, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menokok 1.24 mata kepada 166.45 dan Indeks Tenaga melonjak 5.94 mata kepada 827.48.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.37 bilion unit bernilai RM1.72 bilion berbanding 1.33 bilion unit bernilai RM2.01 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran naik kepada 996.00 juta unit bernilai RM116.13 juta daripada 924.38 juta unit bernilai RM94.71 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 561.91 juta unit bernilai RM263.44 juta daripada 604.78 juta unit bernilai RM218.53 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 141.93 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (473.69 juta), pembinaan (79.41 juta), teknologi (187.80 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (62.34 juta), hartanah (115.88 juta), perladangan (19.13 juta), REIT (10.99 juta), dana tertutup (17,000), tenaga (152.60 juta), penjagaan kesihatan (52.70 juta), telekomunikasi dan media (17.48 juta), pengangkutan dan logistik (16.14 juta),utiliti (43.09 juta) dan amanah perniagaan (267,800).

-- BERNAMA