Pada 9.09 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.55 mata kepada 1,593.83 daripada 1,592.28 semasa ditutup semalam.
Indeks dibuka tinggi 0.63 mata kepada 1,592.91.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 195 berbanding 130, dengan 230 kaunter tidak berubah, 1,764 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 197.34 juta unit bernilai RM112.92 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata penangguhan pelaksanaan tarif timbal balik oleh Presiden AS Donald Trump di negara asing memberikan sedikit kelegaan kepada pasaran, menyebabkan hasil 10 tahun AS menurun kepada 4.533 peratus.
"Kami percaya bahawa dana akan bergabung di rantau Asia dan bursa tempatan mungkin mendapat manfaat daripada kesan limpahan.
"Justeru, kami menjangkakan indeks akan berlegar dalam julat 1,590-1,600 hari ini," katanya.
Malacca Securities Sdn Bhd berkata peningkatan Wall Street berikutan kenaikan di saham wajaran tinggi Nasdaq seperti Nvidia selepas Hewlett Packard Enterprise melakukan penghantaran sistem pengkomputeran kecerdasan buatan berasaskan keluarga Nvidia Blackwell yang pertama.
Dalam pasaran komoditi, minyak mentah Brent diniagakan dalam julat ketat sekitar US$74-US$75 setong, dalam persekitaran prospek rundingan damai antara Rusia dan Ukraine manakala harga emas melonjak ke arah US$2,928 seauns.
Malaysia dijangka mengumumkan data ekonomi 2024 lewat hari ini dan diunjurkan lebih tinggi daripada anggaran pendahuluan 5.1 peratus, pertumbuhan itu didorong oleh jangkaan pertumbuhan 4.8 peratus pada suku keempat.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meneruskan penurunan, jatuh empat sen kepada RM10.48, CIMB naik satu sen kepada RM8.29 manakala Public Bank dan Tenaga Nasional tidak berubah masing-masing pada RM4.45 dan RM13.88.
IHH Healthcare menambah empat sen kepada RM7.25, bagaimanapun CelcomDigi merosot empat sen kepada RM3.83.
Bagi saham aktif, Harvest Miracle meningkat 0.5 sen kepada 15 sen, Dialog susut 26 sen kepada RM1.55, manakala Widad dan Aneka Jaringan tidak berubah masing-masing pada 4.0 sen dan 0.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 5.56 mata kepada 12,132.70, Indeks FBMT 100 meningkat 2.46 mata kepada 11,831.83, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 12.05 mata kepada 11,945.14, Indeks FBM 70 merosot 31.74 mata kepada 17,903.61 manakala Indeks FBM ACE turun 2.01 mata kepada 5,217.23.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan menokok 7.79 mata kepada 7,489.44, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 1.24 mata kepada 165.41, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 9.56 mata kepada 19,235.68 manakala Indeks Tenaga merosot 14.85 mata kepada 803.51.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)