Pada 9.05 pagi, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.43 mata kepada 1,602.62.
Indeks petunjuk utama itu dibuka susut 1.07 mata pada 1,601.98 berbanding paras 1,603.05 yang dicatatkan semalam.
Di pasaran meluas sebaliknya lebih positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 134 berbanding 126 manakala 247 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,811 tidak diniagakan dan 23 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 150 juta unit bernilai RM60.85 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi Januari 2025 meningkat sebanyak 0.5 per cent, sekali gus menandakan kenaikan terbesar sejak Ogos 2023 manakala IHP teras naik 0.4 peratus.
Tekanan inflasi itu menyumbang kepada penyusutan Wall Street pada akhir dagangan manakala kertas Perbendaharaan 10 tahun AS meningkat 4.627 peratus.
Di sebalik perkembangan ini, Thong sebaliknya percaya ketidaktentuan dan penilaian tinggi terhaap pasaran AS akan turut melencongkan beberapa dana ke aras pasaran Asia.
"Sehubungan itu, kita menjangkakan indeks akan berada dalam julat 1,600-1,610 pada hari ini," katanya.
Dalam pada itu, Melaka Securities Sdn Bhd menjangkakan minat belian berterusan di peringkat tempatan membabitkan sektor perbankan serta amanah pelaburan hartanah.
"Kami juga melihat potensi peluang dalam saham-saham sarung tangan di tengah-tengah ancaman tarif berterusan ke atas produk China selain prospek dolar AS yang lebih kukuh.
"Pada masa sama, kami turut menjangkakan prospek pendapatan bagi saham yang berkaitan dengan rantaian bekalan pusat data," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi Maybank dan Tenaga Nasional masing-masing kekal pada RM10.60 dan RM13.94.
CIMB sebaliknya susut lima sen kepada RM8.35, Public Bank untung satu sen kepada RM4.51 manakala IHH turun dua sen kepada RM7.30.
Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang, Sarawak Cable dan Velesto masing-masing tidak berubah pada 5.5 sen, 13 sen dan 1.0 sen.
Harvest Miracle pula turun setengaha mata kepada 15.5 sen manakala Silver Ridge menokok setengah mata kepada 58 sen.
Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 7.53 mata kepada 12,199.65, Indeks FBMT 100 menokok 8.18 mata kepada 11,903.54 manakala Indeks FBM Emas Shariah meraih 13.86 mata kepada 11,991.86.
Indeks FBM 70 pula melonjak 57.21 mata kepada 18,037 dan Indeks FBM ACE naik 0.97 mata kepada 5,218.28.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 2.2 mata kepada 19,436.60 dan Indeks Perladangan meningkat 7.73 mata kepada 7,524.27.
Selain itu, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.10 mata kepada 164.37 dan Indeks Tenaga naik 0.57 mata kepada 818.84.
-- BERNAMA