KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia susut pada sesi awal dagangan Jumaat seiring dengan prestasi semalaman Wall Street yang lebih suram.

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.96 mata kepada 1,551.58 daripada paras 1,555.54, semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka turun 2.11 mata kepada 1,553.43.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 183 berbanding 84 manakala 226 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 1,884 tidak diniagakan dan 19 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 181.44 juta unit bernilai RM97.33 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mengakhiri dagangan hariannya semalam dalam zon negatif susulan penjualan saham teknologi mega seperti Apple, Nvidia dan Alphabet.

Bagi pasaran domestik, beliau berkata prestasi FBM KLCI semalam gagal mengekalkan peningkatan dalam dagangan sebelum ini selepas diasak tekanan jualan yang berterusan.

"Ini kebanyakannya mewakili dana asing dengan aliran keluar bersih sebanyak RM1.45 bilion sejak awal 2025.

"Kami mengesyaki perkembangan itu dikaitkan dengan ketidakpastian susulan kembalinya Donald Trump sebagai presiden. Oleh itu, kami menjangkakan keadaan sama beberapa hari ini dengan indeks bergerak dalam lingkungan 1,550-1,560 hari ini," katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan CIMB tidak berubah pada RM10.14 dan RM7.99 manakala Public Bank turun satu sen kepada RM4.38, IHH berkurangan dua sen kepada RM7.09 namun Tenaga menokok 16 sen kepada RM13.28.

Bagi saham aktif, TWL Holdings dan Yew Lee Pacific masing-masing mendatar pada 2.5 sen dan 56 sen manakala Velocity Capital naik setengah sen pada 8.5 sen.

Gamuda sebaliknya susut 29 sen kepada RM3.97 dan Aimflex berkurangan setengah sen kepada 13.5 sen.

Bagi indeks pula, Indeks FBM Emas turun 33.18 mata kepada 11,891.86, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan sebanyak 44.03 mata kepada 11,718.67 dan Indeks FBMT 100 merosot 34.88 mata kepada 11,580.01.

Indeks FBM 70 susut 73.36 mata kepada 17,757.15 manakala Indeks FBM ACE turun 10.63 mata kepada 5,184.31.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Tenaga turun 2.81 mata kepada 828.67, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 17.64 mata kepada 18,717.69 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.34 mata kepada 165.01 dan Indeks Perladangan merosot 10.42 mata kepada 7,325.96.

-- BERNAMA