Dalam satu kenyataan hari ini, MITI berkata Tinjauan Ekonomi Kementerian Kewangan Malaysia mengunjurkan dagangan Malaysia berkembang sebanyak empat peratus pada 2025, dengan eksport dan import masing-masing tumbuh sebanyak 3.9 peratus dan 4.1 peratus.
Sementara itu, keluaran dalam negara kasar dijangka berkembang antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus.
"Permintaan berterusan terhadap produk elektrik dan elektronik tahun ini akan disokong oleh trend pemulihan semula sektor tersebut, seiring dengan unjuran oleh Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia yang menunjukkan bahawa jualan semikonduktor akan meningkat sebanyak 11.2 peratus pada 2025," katanya.
MITI turut menekankan bahawa pemanfaatan perjanjian perdagangan bebas akan menjadi penting dalam memudahkan akses produk Malaysia ke pasaran yang lebih luas, sekali gus meningkatkan pertumbuhan eksport.
"Sebagai sebuah negara yang mengamalkan perdagangan terbuka, Malaysia masih terdedah kepada risiko global yang boleh memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi, termasuk ketidakpastian yang timbul daripada ketegangan geopolitik yang berlarutan, gangguan dalam rantaian bekalan global, dan turun naik harga komoditi.
"Selain itu, menjelang pelantikan presiden terpilih Amerika Syarikat, jangkaan terhadap pelaksanaan dasar-dasar baharu yang berpotensi memberi impak kepada perdagangan serantau juga semakin memuncak," kata kenyataan tersebut.
Justeru itu, MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terus berwaspada dalam memastikan risiko terhadap pertumbuhan perdagangan dipantau dengan teliti, terutamanya melalui peningkatan aktiviti promosi pasaran dan peluasan ke pasaran eksport baharu bagi produk Malaysia.
Dagangan Malaysia mencapai paras tertinggi sepanjang masa sebanyak RM2.88 trilion pada 2024, meningkat 9.2 peratus tahun ke tahun, menandakan pencapaian melebihi RM2 trilion untuk tahun keempat berturut-turut.
Pada 2024, eksport meningkat 5.7 peratus kepada RM1.51 trilion, manakala import meningkat 13.2 peratus tahun ke tahun kepada RM1.371 trilion.
-- BERNAMA