KUALA LUMPUR: Disiplin fiskal kerajaan MADANI berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 4.1 peratus pada 2024, menunjukkan pemulihan yang kukuh dalam mengurangkan hutang dan meningkatkan keyakinan pelabur global, kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed berkata, negara dengan hutang yang rendah menarik perhatian yang ketara dalam ekonomi global berikutan ia melambangkan kekuatan kepada pelabur yang melihat dasar ekonomi dan lembaran imbangan kerajaan sebagai kukuh.

"Hasil yang lebih tinggi dijana oleh kerajaan pada 2024 telah menyumbang kepada pengurangan hutang. Selain itu, kerajaan terus mengkaji semula dasar ekonomi, memberi tumpuan kepada projek yang memberi sumbangan ketara kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tanpa menambah hutang dalam lembaran imbangan.

"Defisit fiskal yang berkurangan menunjukkan disiplin fiskal telah menjadi keutamaan strategik kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan pertumbuhan kekal tinggi, infrastruktur memberi impak positif kepada KDNK serta kestabilan makroekonomi yang menyokong permintaan agregat dan pelaburan dalam ekonomi," katanya kepada Bernama.

Menurut Bank Negara Malaysia, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1 peratus pada 2024 daripada 3.6 peratus pada 2023, sejajar dengan sasaran kerajaan antara 4.8 peratus dan 5.3 peratus tahun ke tahun.

Pertumbuhan itu didorong oleh permintaan dalam negara yang terus berkembang dan pemulihan eksport.

Menurut Kementerian Kewangan, selain KDNK melepasi unjuran awal rasmi bagi 2024, kerajaan juga mengatasi sasaran defisit fiskal pada tahun tersebut, mencapai 4.1 peratus berbanding sasaran 4.3 peratus.

Defisit fiskal dijangka berkurangan kepada 3.8 peratus pada 2025.

Shan berkata, Juwai IQI menjangka ekonomi Malaysia akan terus berkembang antara lima dan enam peratus pada 2025.

"Kami menjangka keyakinan pelabur akan kekal tinggi dan kedudukan strategik Malaysia akan meningkatkan eksport, membawa masuk pelaburan langsung asing dan memastikan negara terus menjadi tumpuan pelabur global," katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata. pelaburan yang diluluskan memberi impak positif kepada defisit fiskal.

"Apabila lebih banyak syarikat melabur dalam kapasiti pengeluaran mereka, ia meningkatkan keupayaan mereka untuk beroperasi dengan lebih cekap. Dengan kata lain, syarikat dapat menjual lebih banyak dan menjana pendapatan lebih tinggi, yang boleh dikenakan cukai oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata, penurunan ketara dalam defisit fiskal pada 2024 menunjukkan usaha kerajaan untuk mengurangkan paras hutang mula membuahkan hasil.

Katanya, hutang statutori, yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia, Terbitan Pelaburan Kerajaan dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia adalah kira-kira 62.5 peratus daripada KDNK pada 2024, tinggi sedikit daripada 61.7 peratus sebelumnya tetapi masih di bawah had 65 peratus.

"Bagaimanapun, lebih banyak perlu dilakukan untuk memastikan ia mencapai sasaran 60 peratus di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023," katanya.

Mohd Afzanizam berkata, kerajaan juga prihatin mengenai kehidupan rakyat Malaysia, terutamanya berkaitan kos sara hidup apabila konsolidasi fiskal cenderung memberi impak inflasi.

"Oleh itu, kerajaan sedang berusaha untuk mencapai keseimbangan yang tepat dan setakat ini, mereka telah melaksanakannya dengan baik.

"Jika kita melihat kepada kadar inflasi, ia telah menurun secara konsisten daripada 3.3 peratus pada 2022 kepada 2.5 peratus (2023) dan 1.8 peratus (2024)," katanya. - BERNAMA