KUALA LUMPUR: MARC Ratings Berhad menjangkakan pertumbuhan Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kekal kukuh sekitar 5 peratus tahun hadapan

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rajan Paramesran berkata, momentum yang memberangsangkan tahun ini, dengan pertumbuhan yang stabil dijangka akan berterusan sehingga tahun depan.

“Secara amnya, terdapat dua pendorong utama bagi sektor korporat, iaitu keadaan ekonomi dan persekitaran kadar faedah.

“Kedua-dua faktor ini kini berada dalam keadaan yang selaras bagi sektor korporat Malaysia,” kata Rajan yang berkongsi prospek tersebut dalam Laporan Tinjauan Kredit Ekonomi dan Korporat MARC 2025.

Tambahnya lagi, Kadar Dasar Semalaman (OPR) juga dijangka kekal pada 3 peratus dalam masa terdekat, memberikan persekitaran stabil untuk aktiviti pembiayaan korporat.

Selain itu, pinjaman bank terus mencatat pertumbuhan yang menggalakkan dengan unjuran peningkatan sekitar 5.5 peratus pada tahun 2025.

Ini disokong oleh pemulihan ekonomi yang sihat dan permintaan kredit yang meningkat.

“Dalam pasaran sukuk, MARC juga menganggarkan sebanyak RM70 bilion akan diterbitkan pada tahun 2025.

“Walaupun terdapat lonjakan luar biasa pada 2022 disebabkan pembiayaan semula besar-besaran yang bersifat sementara, trend jangka panjang pasaran ini kekal stabil," tambah beliau.

Katanya, beberapa risiko menurun perlu diteliti seperti turun naik nilai ringgit yang boleh memberi impak besar kepada pemain industri.

Secara keseluruhannya, trend keuntungan korporat dijangka terus meningkat pada tahun 2025, disokong potensi pertumbuhan dalam sektor-sektor utama.

Beliau berkongsi prospek tersebut dalam Laporan Tinjauan Kredit Ekonomi dan Korporat MARC 2025.