SINGAPURA: Ekonomi Singapura berkembang 4.4 peratus pada 2024, meningkat daripada anggaran awal 4.0 peratus, menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) hari ini.

Pertumbuhan itu lebih pantas daripada pengembangan 1.8 peratus pada 2023, kebanyakannya didorong oleh sektor perdagangan borong, kewangan dan insurans serta pembuatan.

"Khususnya kluster elektronik dalam sektor pembuatan dan segmen jentera, peralatan dan bekalan bagi sektor perdagangan borong berkembang dengan pesat berikutan peningkatan dalam kitaran elektronik global," kata MTI dalam satu kenyataan selepas mengeluarkan laporan Tinjauan Ekonomi Singapura 2024.

Ekonomi berkembang 5.0 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2024, menyederhana daripada 5.7 peratus suku ketiga 2024.

Ia mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 pada 1.0 hingga 3.0 peratus dengan mengambil kira persekitaran ekonomi luar dan domestik serta menghalang risiko penurunan yang wujud.

MTI berkata sejak Tinjauan Ekonomi Singapura pada November 2024, negara-negara maju kekal berdaya tahan, prestasi itu seiring dengan jangkaan suku keempat 2024 dalam persekitaran ketidaktentuan ekonomi global yang meningkat.

Tinjauan permintaan luaran 2025 Singapura secara amnya kekal tidak berubah dengan pertumbuhan KDNK keseluruhan dalam rakan dagangan utamanya dijangka berkurangan daripada paras dicatatkan pada 2024.

Dalam kalangan negara maju, pertumbuhan KDNK Amerika Syarikat diunjurkan menjadi menyederhana pada 2025 disebabkan pertumbuhan penggunaan swasta dijangka terjejas tahun ini sejajar dengan pasaran buruh yang semakin stabil.

"Bagaimanapun terdapat ketidaktentuan terhadap prospek ekonomi AS dengan trajektorinya bergantung kepada dasar pentadbiran baharu," katanya.

MTI berkata pertumbuhan ekonomi utama di Asia Tenggara (Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan Vietnam) dijangka kekal stabil, disokong oleh permintaan domestik yang bertambah baik dan pemulihan dalam sektor pelancongan.

-- BERNAMA