Dalam catatan di akaun Facebooknya hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dimaklumkan ketika kunjungan hormat Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ericsson Group, Börje Ekholm di pejabatnya di sini, pada Jumaat.
"Perbincangan ini tertumpu kepada status terkini pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia yang mampu menjadi perintis kepada pembangunan prasarana dan liputan rangkaian 5G," katanya.


Perdana Menteri turut menyatakan keyakinan bahawa rangkaian 5G mampu melonjakkan daya saing ekonomi Malaysia serta tahap produktiviti dan nilai tambah industri.
"Saya berharap pelaksanaan rangkaian 5G mampu memberi impak positif terhadap liputan komunikasi kepada Keluarga Malaysia," ujarnya.
Ericsson yang sudah berada di Malaysia sejak 57 tahun yang lalu merupakan syarikat peneraju dalam teknologi 5G di rantau ini.