KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd menyasarkan untuk mengeksport hasil pertanian ke China menerusi projek perladangan bersepadu bernilai tinggi berskala besar Lembah Agro Chuping FGV (FCAV), dengan memanfaatkan rangkaian Pelabuhan Darat Perlis (PIP).

Ketua Pertanian Bersepadu FGV Holdings Bhd, Abdul Razak Aya berkata, ladang FCAV itu berkeluasan 4,500 hektar, dengan hanya 20 peratus telah diusahakan setakat ini.

"Kami mempunyai skala untuk mengeksport produk kami ke pasaran global di samping memenuhi permintaan domestik. Pada 2022, Malaysia mengimport 41,000 tan sayur-sayuran dan buah-buahan dari Thailand bernilai RM220 juta.

"Jika kami memanfaatkan 32,000 tan hasil pertanian daripada FCAV di samping kapasiti pemprosesan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan rangkaian logistik PIP, kapasiti keseluruhan ini boleh meningkat kepada 73,000 tan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi perbincangan panel bertajuk 'Peluang Pelaburan yang Mencetus Perubahan di Perlis,' yang diadakan bersempena dengan Siri MIDA (Pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) Invest - Perlis: Membongkar Permata Tersembunyi.

Abdul Razak berkata, FCAV juga telah mengeksport hasil pertanian ke Dubai, Arab Saudi dan Bahrain.

FGV menerusi anak syarikat milik penuhnya FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF) melancarkan FCAV pada 2021, dengan menjadikan ladang tebu sedia ada kepada ladang tanaman kontan selepas menamatkan aktiviti pertanian tebu.

Sebelum ini, MSM Malaysia Holdings Bhd mengendalikan perniagaan ladang tebu di Chuping menerusi anak syarikat milik penuhnya MSM Perlis Sdn Bhd.

Bagaimanapun, pada 2021, MSM menjual keseluruhan pegangan ekuiti dalam MSM Perlis kepada FGVIF bernilai RM181 juta.

Abdul Razak menekankan bahawa FCAV merupakan contoh pertanian berpacukan teknologi dengan menggabungkan teknik pertanian pintar, pertanian jitu dan amalan mampan.

"Sebagai sebahagian daripada pertanian pintar iklim kami, kami turut membekalkan bahan-bahan yang disahkan halal. Malaysia diiktiraf di peringkat global bagi produk makanan yang disahkan halal, membolehkan kami memanfaatkan permintaan yang semakin meningkat untuk eksport halal, terutamanya ke China," katanya.

Beliau berkata, mengintegrasikan FCAV bagi pengeluaran pertanian mentah, PIP untuk memudahkan eksport dan CVIA bagi pemprosesan berasaskan agro yang meliputi keluasan 6,100 hektar melahirkan ekosistem pertanian kepada pasaran yang lancar.

Beliau berkata, selain itu syarikat berkenaan sedang meneroka tenaga solar bagi memperkasakan kemudahan pemprosesan agro, memastikan pematuhan dengan standard mampan serta piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

-- BERNAMA