Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Haos Ek? Anis Permin berkata syarikat itu optimis dengan perancangan berkenaan berikutan usaha kerajaan yang sentiasa memberikan sokongan kepada usahawan bumiputera sama ada industri kecil dan sederhana, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) atau syarikat berskala besar.
Beliau berkata pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai agensi kerajaan di peringkat kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Johor yang sentiasa memberikan sokongan dan bantuan dalam pelbagai bentuk serta pendekatan secara holistik.
"Agensi seperti Perbadanan Nasional Bhd, Tekun Nasional, SME Corp, SME Bank, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi manakala agensi kerajaan negeri Johor seperti Perbadanan Usahawan Johor Bhd dan Jabatan Pertanian Johor giat memastikan kami layak menerima pelbagai bantuan melalui pelbagai program bersesuaian dengan industri makanan dan minuman," katanya dalam kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan pada sesi temu bual bertajuk Brewing Success di Festival Francais Antarabangsa Perbadanan Nasional Bhd 2025 di sini baru-baru ini.
Anis berkata bantuan PMKS yang diterima termasuk geran, pembiayaan, latihan, sumber pembangunan perniagaan dan peluang bimbingan usahawan, dengan insentif ini membantu meningkatkan keupayaan, mengembangkan pasaran dan menangani cabaran dengan lebih yakin.
Menurutnya Haos Ek? telah menerima banyak inisiatif dan insentif yang disediakan oleh kerajaan sepanjang empat tahun operasinya justeru menyeru semua usahawan PMKS untuk merebut peluang ini sebaik mungkin.
"Sebagai antara usahawan PMKS yang komited untuk mencipta pekerjaan, menyumbang kepada ekonomi tempatan dan mendorong inovasi, Haos Ek? berbangga menjadi sebahagian daripada keluarga agensi kerajaan ini.
"Sebagaimana mereka (agensi kerajaan) yang tidak pernah alpa membantu kami, Haos Ek? juga akan membantu mempromosi inisiatif semua agensi supaya dapat dinikmati oleh lebih ramai usahawan PMKS yang berpotensi," katanya.
Layari www.haos.my. untuk maklumat lanjut mengenai Haos Ek? dan perjalanan mereka sebagai usahawan PMKS.
Haos Ek? adalah syarikat minuman jenama tempatan yang sedang meningkat naik, yang menumpukan kepada pembuatan dan pengedaran produk minuman bercirikan Malaysia.
-- BERNAMA