KUALA LUMPUR: Indikator yang menentukan kejayaan kerangka Ekonomi MADANI telah menunjukkan pencapaian positif setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.


Ringkasan AI
  • Indikator seperti pertumbuhan ekonomi, kadar pengangguran, tahap kemiskinan, inflasi, perdagangan, dan pelaburan menunjukkan pencapaian positif setakat ini.
  • Kadar pengangguran stabil pada 3.2%, kadar kemiskinan menurun 8%, KDNK meningkat 5.1%, inflasi menurun 1.8%, dan jumlah perdagangan meningkat 9.2% kepada RM2.9 trilion.
  • Jumlah pelaburan diluluskan meningkat 14.9% kepada RM378.5 bilion, mewujudkan lebih daripada 207,000 peluang pekerjaan. Defisit fiskal bertambah baik kepada 4.1%.


Beliau berkata prestasi kerangka Ekonomi MADANI boleh dinilai menerusi beberapa indikator penting termasuk pertumbuhan ekonomi, kadar pengangguran, tahap kemiskinan, inflasi, perdagangan dan pelaburan serta kedudukan fiskal negara.

"Jadi indikator-indikator ini menunjukkan pencapaian positif setakat hari ini...kadar pengangguran stabil pada 3.2 peratus dan kadar kemiskinan telah pun menurun 8 peratus.

"Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pula meningkat 5.1 peratus dan inflasi menurun 1.8 peratus dan jumlah perdagangan meningkat 9.2 peratus kepada RM2.9 trilion," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan oleh Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang bertanya mengenai pencapaian Ekonomi MADANI sehingga kini dan cabaran yang dihadapi bagi mencapai sasaran.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata antara indikator lain termasuk pengeluaran hutang baharu yang telah berkurangan sebanyak 17 peratus manakala defisit fiskal bertambah baik iaitu meningkat kepada 4.1 peratus.

Selain itu, beliau menjelaskan jumlah pelaburan diluluskan turut meningkat 14.9 peratus kepada RM378.5 bilion, seterusnya telah mewujudkan lebih daripada 207,000 peluang pekerjaan.

"Pencapaian ini membuktikan keberkesanan dasar ekonomi dan juga tadbir urus Kerajaan MADANI dalam memastikan pembangunan inklusif dan berdaya tahan.

"Kerajaan akan terus menyesuaikan strategi bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat secara adil dan juga saksama," katanya.

-- BERNAMA