Berdasarkan keperluan tenaga dunia yang sentiasa berkembang, gas menjadi elemen penting kepada kemajuan manusia dan pertumbuhan global.
Naib Presiden Kesatuan Gas Antarabangsa (IGU), Andrea Stegher berkata, industri perlu kekal fokus dan menyumbang dengan memberi impak positif tanpa terjejas oleh 'gelombang' walaupun ia boleh membuka peluang dan kemungkinan untuk bekerjasama dengan pihak lain dan bertahan daripada gelombang tersebut.
"Saya berpendapat kerjasama adalah penting untuk menghadapi 'gelombang' dan membantu kita melalui cabaran. Oleh itu, kita perlu sedar bahawa tenaga adalah penting.
"Kita perlu memastikan kemajuan berlaku secara progresif, mempromosikan teknologi baharu, inovasi dan memastikan hala tuju yang jelas," katanya pada sesi 'Exclusive Engagement Session With IGU Leaders' bersempena Simposium Gas Malaysia (MyGAS 2025) baru-baru ini.
Turut hadir Presiden IGU Li Yalan dan 30 profesional muda dari seluruh Malaysia termasuk wakil daripada Unit Pemprosesan Gas (GPU), Petronas Floating Liquefied Natural Gas (PFLNG) dan Techno Digital Solutions.
Beliau berkata, dengan populasi dunia yang dijangka mencecah 10 bilion orang menjelang 2050, penting untuk mewariskan legasi pencapaian kepada generasi muda.
"Generasi muda mempunyai cabaran penting yang perlu dihadapi. Mereka akan memenuhi keperluan dunia dan mengurangkan pelepasan karbon dalam industri ini," katanya.
Pada masa ini, terdapat kira-kira 8.2 bilion orang di dunia.
Sementara itu, Presiden Kelab Profesional Muda Petronas dan pakar teknologi di NERF Centre, Faizal Adam berharap golongan profesional muda dalam industri gas akan terus menjalin kerjasama dalam kalangan pemain industri termasuk Persatuan Gas Malaysia (MGA) untuk menyumbang kepada pertumbuhan sektor gas tempatan dan antarabangsa.
"Kita berada dalam situasi ini bersama-sama dan bagi industri gas, kami berharap dapat menjalankan aktiviti untuk menyokong industri gas Malaysia dan antarabangsa," katanya.
Eksekutif (Operasi) di Petronas Gas Bhd, Ahmad Zul Hakim Ahmad Afdzal berkata, kerjasama juga perlu diselaraskan untuk menyediakan penyelesaian yang lebih hijau.
"Ia juga perlu mencari keseimbangan antara penerapan penyelesaian hijau dalam kehidupan seharian dan industri tenaga secara keseluruhan.
"Bersama-sama, kita perlu lebih cekap dalam membuat perubahan secara berperingkat demi kelestarian yang lebih baik pada masa depan," katanya. - BERNAMA
