Angka itu adalah berdasarkan kepada perangkaan daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Khamis, KPK menyatakan, produk industri hiliran minyak sawit merangkumi produk oleokimia, biodiesel dan produk siap/akhir.
Menurut kementerian itu, hasil jualan produk hiliran minyak sawit di pasaran tempatan berjumlah 2.18 juta tan bernilai RM5.69 bilion pada 2020, dikuti 1.91 juta tan (RM9.12 bilion) pada 2021, sebanyak 2.20 juta tan (RM11.89 bilion) pada 2022, sebanyak 2.58 juta tan (RM12.09 bilion) pada 2023 dan sebanyak 2.42 juta tan (RM8.97 bilion) pada 2024.
"Bagi pasaran eksport pula, hasil jualan produk hiliran minyak sawit bagi tempoh 2020 hingga 2024 berjumlah 18.93 juta tan, bersamaan RM112.63 bilion.
"Jualan eksport produk hiliran minyak sawit pada 2020 berjumlah 4.05 juta tan bernilai RM16.65 bilion, pada 2021 sebanyak 3.81 juta tan (RM22.76 bilion) pada 2022 sebanyak 3.60 juta tan (RM29.33 bilion) pada 2023 sebanyak 3.64 juta tan (RM20.91 bilion) dan pada 2024 sebanyak 3.84 juta tan (RM22.98 bilion)," kata KPK.
Kementerian itu berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh), yang ingin mengetahui jumlah hasil jualan produk hiliran minyak sawit bagi pasaran tempatan dan eksport dari tahun 2020 hingga 2024.
Berhubung soalan mengenai langkah-langkah yang diambil untuk memperluas pasaran produk hiliran minyak sawit, KPK berkata, kerajaan sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengembangkan sektor tersebut.
Antara langkah strategik yang telah dilaksanakan adalah Penyelidikan dan Pembangunan (R&D); Pensijilan Kelestarian; Peningkatan Infrastruktur dan Teknologi; Perkongsian Strategik Dengan Negara Rakan Dagang; dan Pemasaran Secara Berterusan. - BERNAMA
