PASARAN kargo udara global menonjolkan kemajuan ketara tahun lepas dengan permintaan menokok 11.3 peratus dalam kargo tan kilometer (CTK) berbanding 2023, selepas permintaan melepasi jumlah rekod yang ditetapkan pada 2021, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Ini menandakan puncak bersejarah baharu, melangkaui volum 2021 sebanyak 0.5 peratus, sebelum ini merupakan rekod tertinggi.

Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata, kargo udara menunjukkan prestasi cemerlang pada 2024 apabila lebih banyak kargo diangkut oleh syarikat penerbangan.

"Yang jelas, ia merupakan tahun pertumbuhan yang menguntungkan. Permintaan, naik 11.3 peratus dari tahun ke tahun selepas menerima rangsangan daripada pengukuhan e-dagang serta pelbagai sekatan yang dialami oleh perkapalan.

"Ini digabungkan dengan sekatan ruang udara yang membatasi kapasiti pada beberapa laluan jarak jauh utama ke Asia telah membantu mengekalkan hasil pada tahap tertinggi. Walaupun purata hasil masih kurang mantap berbanding kemuncak pada 2021-2022 yang mana, ia berpurata 39 peratus lebih baik daripada 2019," katanya melalui satu kenyataan.

Walaupun terdapat cabaran yang kompleks pada tahun lepas, industri tersebut telah mencerminkan kekuatan apabila mengakhiri tahun dengan momentum yang kukuh.

"Rantau Asia Pasifik tetap menjadi daya penggerak di belakang pertumbuhan CTK tahunan industri, dengan menyumbang 46.6 peratus, walaupun angka ini mewakili penurunan mata sebanyak 4.9 peratusan dari tempoh yang sama berbanding 2023," katanya lagi.

Bagi kapasiti tahun penuh pada 2024, kargo tan kilometer (ACTK) yang tersedia, bertambah 7.4 peratus berbanding peningkatan pada 2023 dan 9.6 peratus untuk operasi antarabangsa," katanya.

IATA menjangkakan pertumbuhan akan menjadi sederhana hingga 5.8 peratus tahun ini, sejajar dengan prestasi sejarah.

"Asas ekonomi semasa menjurus kepada tahun yang baik bagi kargo udara, dengan harga minyak pada trajektori lemah dan perdagangan terus berkembang. Bagaimanapun, tidak ada keraguan bahawa industri kargo udara akan dicabar untuk menyesuaikan diri dengan pergeseran geopolitik yang sedang berlaku.

"Minggu pertama pentadbiran Trump menunjukkan kecenderungannya dalam menggunakan tarif sebagai alat dasar yang dapat memberikan impak buruk kepada kargo udara, sekali gus, meningkatkan inflasi dan menjejaskan perdagangan," kata Walsh. - BERNAMA