KUALA LUMPUR: Kepentingan e-Invois semakin menjadi keutamaan bagi perniagaan di Malaysia, dan 7 Februari memainkan peranan penting dalam pelaksanaannya.

Pengarah Eksekutif TRATAX Sdn Bhd, Thenesh Kannaa, berkongsi kepentingan tarikh ini termasuk perbezaan antara e-invois biasa dan e-invois yang disatukan.

Berikut adalah tindakan yang perlu dambil oleh perniagaan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya.

1. Dua cara perniagaan boleh urus e-Invois

- e-Invois Transaksi – Setiap transaksi direkod dengan nombor IC atau TIN (Taxpayer Identification Number), dihantar ke Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) untuk pengesahan sebelum invois diberi kepada pelanggan.

- e-Invois yang disatukan (Consolidated e-Invoice) – Semua transaksi tanpa e-Invois sepanjang bulan Januari dikumpulkan dan dilaporkan kepada LHDN sekali gus pada 7 Februari.

2. Kenapa 7 Februari sangat penting?

- Tarikh ini adalah tarikh akhir bagi perniagaan yang sudah dalam sistem e-Invois untuk menghantar laporan transaksi mereka bagi Januari jika tidak mengeluarkan e-Invois bagi setiap transaksi

- Sekiranya ada sebarang kesilapan atau kekurangan data bulan Januari, pembayar cukai masih boleh buat pembetulan tanpa penalti sebelum 7 Februari.

- Denda boleh mencecah sehingga RM20,000 bagi setiap kesalahan jika terlepas tarikh ini.

3. Bukan hanya untuk jualan – Pembayaran lain juga perlu e-Invois

Thenesh berkata, ramai menyangka e-Invois hanya terpakai untuk jualan, tetapi sebenarnya ia melibatkan lebih banyak jenis transaksi:

- Bayaran kepada individu – Jika syarikat tersebut membayar yuran ceramah, bayaran profesional, atau komisen kepada individu, maka wajib mengeluarkan Self-Billed Invoice.

- Import dan perbelanjaan lain – Semua transaksi yang melibatkan kos perniagaan, termasuk import barangan dan perkhidmatan, mesti direkod dan dilaporkan dalam sistem e-Invois.

4. Tempoh kelonggaran 6 bulan – Jangan salah faham

LHDN memberikan tempoh kelonggaran sehingga 31 Julai 2024 untuk syarikat dengan hasil tahunan RM25 hingga 100 juta, tetapi ada syarat penting yang perlu dipatuhi:

- Mesti hantar e-Invois yang disatukan setiap bulan

- Perniagaan tidak boleh tunggu hingga Ogos untuk serah semua transaksi sekali gus.

"Jika syarikat itu dalam kategori ini, pastikan pematuhan dilakukan secara berkala untuk mengelakkan sebarang masalah di kemudian hari", tambah Thenesh.

5. Jangan hanya bergantung pada Jabatan Kewangan

Ramai beranggapan e-Invois hanya tanggungjawab bahagian akaun dan kewangan, sedangkan seluruh organisasi perlu terlibat:

- Operasi dan Information technology (IT) – Pastikan sistem invois telah dikemas kini untuk menyokong e-Invois.

- Logistik dan import – Fahami kesan e-Invois terhadap transaksi antarabangsa dan pematuhan cukai.

- Pengurusan – Wujudkan pasukan khas untuk memantau pematuhan secara menyeluruh.

"Kesilapan besar yang ramai buat adalah dengan hanya beri fokus kepada jualan sedangkan e-Invois melibatkan hampir semua aspek perniagaan," kata beliau.

6. Denda RM200 Hingga RM20,000 – Jangan sampai terkena

Kegagalan mematuhi e-Invois boleh mengakibatkan penalti sehingga RM20,000 bagi setiap kesalahan. Elakkan risiko dengan langkah berikut:

- Gunakan sumber rasmi LHDN untuk memahami keperluan pematuhan e-Invois.

- Semak semula transaksi Januari sebelum 7 Februari – ini peluang terakhir sebelum penalti dikenakan.

- Pastikan strategi pematuhan tersedia dengan pasukan khas yang menguruskan proses ini dengan baik.

Pelaksanaan e-Invois bukan sekadar perubahan sistem tetapi suatu impak yang menyeluruh untuk pelbagai aspek operasi sesuatu perniagaan.

Final Countdown: Is your business ready for the e-invoicing deadline?