KUALA LUMPUR: Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) menawarkan perkhidmatan Ar-Rahnu sebagai altnernatif kepada pajak gadai konvensional.

Pengerusinya, Mohd Najib Mohd  Noor berkata, Koop Sahabat merupakan antara koperasi yang produktif dalam melebarkan aktiviti Ar-Rahnu, dalam tempoh 13 tahun penubuhannya.

“Sahabat Ar-Rahnu ditubuhkan oleh Koop Sahabat bukan hanya dari sudut aktiviti perniagaan semata-mata, tetapi ia mempunyai objektif yang lebih besar iaitu untuk memberi kesedaran kepada masyarakat daripada belenggu riba serta memecah monopoli pajak gadai konvensional," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ar-Rahnu merupakan satu bentuk perkhidmatan kewangan Islam  yang unik dan telah memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi di Malaysia. 

Mengulas lanjut, Mohd Najib berkata aktiviti Sahabat Ar-Rahnu telah menyumbang sebanyak 30 peratus kepada keuntungan koperasi pada  tahun 2024.

Selain itu, ia turut menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan peningkatan sebanyak 25 peratus jumlah marhun sebanyak RM461 juta dan pengeluaran pembiayaan adalah melebihi RM346 juta berbanding tahun 2023.

Terdahulu, Sahabat Ar-Rahnu Koop Sahabat Cawangan ke-34 di Tawau, yang merupakan cawangan pertama di Sabah, dirasmikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Leftenan Jeneral Bersara, Datuk Ahmad Norihan Jalal.

Pada majlis sama, Koop Sahabat turut melancarkan kempen Cabutan WOW! Sahabat Ar-Rahnu 2025, yang bermula dari 1 Januari sehingga 31 Disember 2025.

Kempen tersebut menawarkan hadiah berjumlah RM50,000, dengan hadiah utama sebuah motosikal, barangan elektrik serta simpanan akaun emas digital.