KUALA LUMPUR: Lebih 50 usahawan Titanium bimbingan RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks) berjaya mencapai jualan RM10 juta hingga RM500 juta setahun.

Menurut Presiden dan Pengasas RichWorks Group, Datuk Wira Dr Azizan Osman, ia merupakan pencapaian terkini pada 2024 selepas para usahawan mengekalkan jumlah itu untuk empat tahun berturut-turut.
 
Jelasnya, ia hasil bimbingan secara berkala bagi memastikan perniagaan mereka terus berkembang meskipun berdepan persaingan kompetitif.
 

“Semua ini tidak berlaku secara kebetulan, sebaliknya dimulakan dengan keinginan usahawan itu sendiri, diikuti tindakan berterusan mengikut panduan dan bimbingan diberikan untuk mereka menang dalam pasaran,” katanya.

Beliau berucap demikian semasa Inner Circle Meeting - Titan Business Leadership Awards 2025 di Melaka baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif RichWorks, Hasnita Ahmad; Ketua Pegawai Operasi, Suley Nordyana Yahya, jemputan luar negara, Ketua Pegawai Eksekutif RichWorks Indonesia, Ibu Aryani Firdaus dan ramai lagi.

Pada majlis itu, seramai 224 penerima anugerah daripada 198 perniagaan diiktiraf kerana mencatatkan pertumbuhan luar biasa sepanjang tahun 2024.
 
Sementara itu, Azizan turut mengumumkan penubuhan syarikat perundingan strategik, Richworks Consulting Group Sdn. Bhd. (RCG) sebagai entiti baharu.
 
“RCG ini akan memfokuskan sokongan kepada perniagaan yang sudah mencapai jualan lebih RM1 juta setahun dengan penyelesaian lebih komprehensif untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia, malah termasuk negara ASEAN,” ujarnya.
 
RichWorks juga akan mengadakan sebuah program khas, Business Success Bootcamp (BSB) pada 19 Februari ini untuk mempersiapkan para usahawan berdepan sembilan krisis yang dijangka berlaku tahun ini.