KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa berperanan dalam memastikan kestabilan ekonomi negara melalui dasar monetari yang kukuh.


Ringkasan AI
  • BNM fokus pada pertumbuhan ekonomi dan inflasi, menggunakan pelbagai indikator ekonomi dalam merangka dasar monetari.
  • Pengaruh penurunan kadar faedah global dan risiko kemelesetan ekonomi AS turut menjadi pertimbangan BNM.
  • Faktor geopolitik dan ekonomi China serta ketidaktentuan subsidi RON95 mempengaruhi dasar monetari BNM, yang dijangka kekal buat masa ini.


Menurut Ketua Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, terdapat beberapa faktor utama yang menjadi pertimbangan BNM tahun ini dalam menentukan hala tuju dasar kewangan negara.

Berikut adalah lima perkara penting yang perlu diperhatikan yang digariskan beliau:

1. Fokus Utama: Pertumbuhan ekonomi dan inflasi

BNM menggunakan pelbagai indikator ekonomi seperti kadar pertumbuhan ekonomi, kadar pengangguran, dan inflasi dalam merangka dasar monetari.

Perubahan dasar subsidi juga memberi kesan kepada inflasi pada masa hadapan.

"Pihak Bank Negara nampak begitu berhati-hati dalam merencana dasar monetari, mengambil kira apa yang berlaku sekitar ekonomi global dan keperluan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi kekal baik pada tahun ini dan seterusnya," kata Afzanizam.

Ini menunjukkan BNM lebih cenderung memastikan pertumbuhan ekonomi stabil sambil mengekalkan kadar inflasi pada tahap terkawal.


2. Pengaruh penurunan kadar kaedah global

Rizab Persekutuan (The Fed) Amerika Syarikat (AS) dijangka akan mengurangkan kadar faedah sebanyak tiga kali tahun ini.

Trend ini turut memberi isyarat kepada kemungkinan BNM menurunkan kadar faedah dalam masa akan datang.

Namun, ia masih bergantung kepada keadaan ekonomi domestik.

"Kita sedang melihat satu fasa penurunan kadar faedah di peringkat global yang mana kalau Bank Negara menurunkan kadar faedah pada satu hari nanti, ia bukanlah sesuatu yang di luar kebiasaan," katanya.


3. Risiko kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat

Ekonomi Amerika Syarikat dilihat semakin perlahan dengan kadar penyertaan dalam pasaran buruh menurun kepada 62.4 peratus pada Februari, tahap terendah sejak Januari 2023.

Ini meningkatkan kebimbangan terhadap risiko kemelesetan ekonomi di AS, yang boleh memberi kesan besar kepada Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi terbuka.


4. Faktor geopolitik dan ekonomi China

China dijangka meneruskan dasar fiskal yang mengembang serta kadar monetari yang akomodatif.

Namun, ketegangan geopolitik seperti perang dagang AS-China dan hubungan China-Rusia boleh mempengaruhi sentimen pasaran global.

"Memang benar faktor geopolitik ini sukar untuk kita ukur, tetapi ia mempunyai impak yang begitu besar dan ini juga merupakan satu pertimbangan oleh Bank Negara dalam merencana dasar monetari bagi tahun 2025," tambah beliau.


5. Dasar monetari dijangka kekal buat masa ini

Memandangkan ketidaktentuan berkaitan rasionalisasi subsidi RON95, BNM dijangka mengekalkan kadar OPR buat masa ini.

Namun, jika mekanisme subsidi diumumkan dan memberi kesan besar kepada inflasi, BNM mungkin akan menilai semula langkahnya pada masa hadapan.

"Saya kira pengekalan dasar monetari atau OPR ini dilihat langkah yang sesuai buat masa ini, tetapi kecenderungan lebih berat kepada fasa penurunan mungkin tidak berlaku tahun ini dan mungkin tahun akan datang," kata beliau.

Bank Negara Malaysia terus memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan ekonomi negara.

Dengan ketidaktentuan global dan faktor domestik yang sedang berubah, pendekatan dasar monetari yang fleksibel dan strategik menjadi keutamaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal mampan pada tahun ini dan seterusnya.