KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menjadi pengeksport penting durian segar ke China berikutan perjanjian yang dimeterai antara kedua-dua negara pada tahun lepas, kata BMI.

BMI, unit Fitch Solutions berkata, perjanjian yang dimeterai pada Jun 2024 itu membolehkan Malaysia untuk mengeksport durian segar ke China.

Menurutnya sebelum ini, Malaysia hanya mengeksport pulpa beku dan buah beku.

Memetik data daripada Pusat Perdagangan Antarabangsa, BMI berkata, eksport durian segar Malaysia ke China berjumlah US$4 juta (US$1 = RM4.41) pada Ogos, September dan Oktober 2024.

"Kami mengunjurkan permintaan kukuh yang berterusan dari China terhadap buah durian, justeru menjangka pelaburan dalam sektor ini akan meningkat dalam tempoh singkat dan sederhana selain menekankan risiko berkaitan kebergantungan tinggi terhadap satu pasaran import," katanya dalam kenyataan hari ini.

BMI berpendapat, Malaysia dan Vietnam dijangka memberi cabaran kepada Thailand, dengan kedua-dua negara mengalami pertumbuhan yang ketara dalam eksport durian.

"Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, eksport buah durian telah menjadi sumber pendapatan eksport yang semakin penting bagi negara pengeluar di rantau ini (Asia Tenggara).

"Kami menjangka persaingan kian meningkat di pasaran durian, dengan pertumbuhan ketara eksport dari Vietnam dan Malaysia dan turut meramalkan semakin mencabar status Thailand sebagai pengeksport terbesar dunia," kata BMI.

Thailand pada masa ini adalah pengeksport raja buah-buahan segar itu yang terbesar di dunia, menyumbang sebanyak 63.8 peratus daripada keseluruhan eksport antara 2013 dan 2023.

"Eksport durian Thailand telah berkembang dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 22.8 peratus dalam tempoh 10 tahun lepas dan 8.6 peratus dalam masa lima tahun lepas, menunjukkan momentum teguh industri ini," kata BMI.

Sehubungan itu, BMI menjangka tumpuan pasaran akan berkurangan dalam tempoh terdekat dengan pertumbuhan pengeluaran dan eksport daripada pasaran alternatif.

BMI turut menekankan kepentingan pengeluaran durian di Vietnam yang semakin meningkat menimbulkan risiko terhadap industri kopi di negara itu.

Setakat ini, Vietnam adalah pengeluar utama biji kopi robusta dunia.

"Dari segi kekurangan, sebahagian petani memilih untuk menanam durian berbanding kopi. Dari segi kebaikan, peningkatan tanaman selingan boleh memperkukuh daya tahan ladang," katanya. - BERNAMA