KUALA LUMPUR: Malaysia masih kekal sebagai salah satu destinasi pilihan utama bagi pelabur-pelabur Eropah dan Amerika Syarikat (AS) walaupun negara telah menyertai BRICS.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa memaklumkan, setakat Disember 2024, sejumlah 56 projek berpotensi dengan komitmen pelaburan hampir RM20 bilion telah dikenal pasti dan bakal dilaksanakan di Malaysia.

Syarikat-syarikat terkemuka antarabangsa seperti Intel, Amazon Web Services, Oracle, Google dan Plexus terus memberikan komitmen untuk melabur atau meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia, menjadikan negara ini sebagai salah satu destinasi utama bagi lebih 600 syarikat AS.

"Meskipun Malaysia kini secara rasmi menyertai BRICS (Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan) sebagai negara rakan kongsi pada 1 Januari, 2025, ia tetap mengekalkan hubungan kukuh dengan rakan dagang tradisionalnya.

"Hubungan terus berkembang dengan AS dan Eropah, memastikan Malaysia dapat memanfaatkan peluang ekonomi dari kedua-dua pihak tanpa mengabaikan penglibatan dalam blok BRICS yang sedang berkembang," menurut kementerian itu bagi menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin).

Abdul Khalib ingin tahu apakah impak negara-negara luar seperti Eropah dan Amerika Syarikat terhadap sektor pelaburan dan perdagangan negara sekiranya Malaysia menjadi anggota BRICS.

Menurut MITI, penglibatan Malaysia dalam BRICS turut membuka akses pasaran lebih luas terutamanya dengan negara-negara yang tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia, antaranya Rusia, Brazil, Afrika Selatan dan India.

"Langkah ini berpotensi memberi peluang baharu dalam sektor perdagangan dan pelaburan, pada masa sama memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai ekonomi dinamik di peringkat global.

"Selain itu, prestasi perdagangan negara juga menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan," kata MITI.

Pada 2024, jumlah perdagangan dengan AS mencatatkan RM325 bilion, meningkat 30 peratus berbanding RM250 bilion pada tahun 2023, manakala perdagangan Malaysia dengan negara-negara Eropah pula mencatatkan RM263 bilion, naik empat peratus berbanding tahun sebelumnya.

MITI berkata, gabungan ekonomi BRICS yang mencatatkan hampir US$30 trilion pada 2024, memberi peluang kepada Malaysia untuk mengukuhkan lagi kedudukan strategiknya di arena perdagangan antarabangsa.

"Sehubungan itu, Malaysia berhasrat untuk terus meningkatkan daya saing dan memperkasa ekonomi negara melalui Kerangka Ekonomi MADANI, selaras dengan pelan pembangunan sosial dan ekonomi yang inklusif," katanya.

BRICS merupakan sebuah blok secara kolektif menyumbang satu per lima kepada perdanganan global, dianggotai oleh sembilan negara iaitu Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ethiopia, Iran dan Mesir. - BERNAMA