KUALA LUMPUR: Maxis melantik Datuk Johan Idris sebagai Pengerusi berkuat kuasa pada 1 Mac, 2025.

Johan sebelum ini ialah Rakan Kongsi Pengurusan KPMG di Malaysia, dan ahli Lembaga KPMG Asia Pasifik serta Majlis Global KPMG International.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Presiden Institut Akauntan Malaysia.

Pada masa ini, beliau berkhidmat sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif KPMG di Malaysia dan ahli majlis Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia.

"Beliau memiliki pengalaman luas lebih 35 tahun dalam pelbagai industri dan sektor, di peringkat tempatan dan global, dengan rekod kepimpinan yang terbukti," menurut Maxis dalam kenyataan pada Jumaat.

Syarikat telekomunikasi itu juga merakamkan penghargaan kepada Datuk Hamidah Naziadin atas manfaat besar daripada kepimpinan beliau sebagai Pengerusi Interim sejak 1 Julai, 2024.

Hamidah akan meneruskan peranan sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas, tambah Maxis.

-- BERNAMA