Ringkasan AI
- McDonalds Malaysia menjalin kerjasama dengan Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd untuk pengurusan sisa yang lebih sistematik dan mampan di restoran McDonalds seluruh negara melalui Perjanjian Perkhidmatan Pengosongan Perangkap Lemak, Minyak dan Gris (FOG).
- Pengarah Urusan McDonalds Malaysia, Datuk Azmir Jaafar menyatakan bahawa kerjasama ini adalah langkah strategik untuk meningkatkan standard pengurusan air sisa dan menyokong matlamat kelestarian negara.
- Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam menekankan pentingnya penyelenggaraan perangkap gris yang sistematik untuk mengelakkan pencemaran alam sekitar dan menyokong ekonomi kitaran dengan memproses semula minyak terpakai.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata kerjasama itu adalah langkah strategik bagi meningkatkan standard pengurusan air sisa serta menyokong matlamat kelestarian negara.
“Kami telah menguruskan perangkap gris sejak hari pertama operasi di seluruh cawangan kami, tetapi ia dikendalikan secara berasingan di lokasi berbeza oleh pelbagai rakan kongsi.
“Oleh itu, dengan adanya IWK sebagai satu-satunya penyedia perkhidmatan di restoran McDonald’s, kami dapat memastikan standard pengurusan air sisa yang lebih tinggi dan menjadi contoh kepada restoran perkhidmatan segera (QSR) lain,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan McDonald’s Malaysia dan IWK pada Khamis.
Perjanjian dua tahun itu melibatkan hampir 300 restoran McDonald’s di Semenanjung Malaysia, dengan perancangan untuk diperluaskan ke Sabah dan Sarawak pada masa depan.
“Sebagai jenama yang melayani 9 juta pelanggan setiap bulan, adalah tanggungjawab kami untuk memastikan operasi restoran bukan sahaja cekap tetapi juga lestari dari segi alam sekitar,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium, Narendran Maniam berkata penyelenggaraan perangkap gris yang sistematik adalah penting dalam mengelakkan pencemaran alam sekitar.
“Sisa minyak dan gris yang tidak diurus dengan baik akan mengeras dan menjadi seperti batu dalam sistem pembetungan, menyebabkan saluran tersumbat serta pencemaran air.
"Kami mahu mengawal perkara ini dan memastikan sistem pembetungan lebih terjaga,” ujarnya.
Beliau berkata, selain mengurangkan pencemaran, inisiatif itu juga menyokong ekonomi kitaran dengan membolehkan minyak terpakai diproses semula bagi meningkatkan kandungan organik dalam rawatan air sisa, seterusnya menjana tenaga elektrik.
McDonald’s Malaysia sebelum ini turut melaksanakan pelbagai inisiatif kelestarian termasuk reka bentuk restoran mesra alam, pemasangan tenaga solar bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB), penyediaan pengecas kenderaan elektrik (EV) di restoran terpilih serta program pengurangan sisa yang menyeluruh.

