Dalam kenyataan pada Selasa, Anuar berkata, ini akan dicapai melalui inisiatif yang memangkin transformasi digital, pembangunan bakat dan penggunaan teknologi dalam perniagaan.
Beliau berkata, ekonomi digital akan terus menjadi enjin pertumbuhan yang strategik untuk Malaysia berdasarkan peranan pentingnya dalam memacu inovasi, meningkatkan produktiviti dan menerapkan model perniagaan baharu dalam industri.
Anuar berkata, pelaburan langsung asing (FDI) menjadi pemacu utama pertumbuhan negara, merujuk kepada pelaburan dalam pusat data.
"Malaysia telah menarik lebih RM86 bilion dalam pelaburan pusat data pada 2024, menjadikan negara sebagai hab pusat data terkemuka di Asia Tenggara dengan 77 pusat data di seluruh negara," katanya.
Jumaat lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1 peratus pada 2024 (2023: 3.6 peratus), didorong oleh pemulihan eksport, kelulusan pelaburan yang kukuh dan kemajuan dalam projek awam-swasta berbilang tahun, termasuk inisiatif pemangkin di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
"Pertumbuhan ini mencerminkan daya tahan dan dinamik ekonomi Malaysia apabila ekonomi digital memainkan peranan yang semakin penting dalam memacu pemulihan ekonomi dan kemakmuran masa depan," katanya.
Menurut MDEC, pelaburan digital memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan KDNK negara secara keseluruhan sebanyak 5.1 peratus pada 2024.
Di bawah inisiatif Malaysia Digital (MD), jumlah pelaburan digital diluluskan pada 2024 sebanyak RM163.6 bilion, mengatasi nilai pelaburan digital diluluskan pada 2023 sebanyak 250 peratus.
Aliran masuk pelaburan digital dalam tempoh ini turut mewujudkan lebih 48,000 pekerjaan, mengatasi jumlah pada 2023 sebanyak 109 peratus.
Ini adalah petunjuk nyata bahawa industri digital terus menjadi pemacu utama kepada pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi.
Anuar berkata, dasar digital Malaysia yang proaktif, terutamanya dalam kecerdasan buatan (AI) dan pembangunan bakat, secara keseluruhannya telah menjadikan negara sebagai hab serantau untuk kecemerlangan digital.
"Kerjasama awam-swasta terus mengukuhkan kepimpinan negara dalam AI dan pengkomputeran kuantum, sekali gus memacu impak transformasi dalam sektor seperti pembuatan, kewangan dan perkhidmatan.
"Matlamat kami ialah meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terus menarik pelaburan berkualiti tinggi serta membangunkan tenaga kerja yang mahir digital dan bersedia untuk masa depan," katanya.
Bidang tumpuan MDEC ialah memacu pertumbuhan digital di peringkat negeri, dengan matlamat meningkatkan infrastruktur digital, menggalakkan ekosistem AI dan mendorong digitalisasi PKS bagi meningkatkan daya saing negara.
Pendekatan berfokus ini bertujuan memperkasakan negeri-negeri untuk memanfaatkan kekuatan unik mereka dan menyumbang kepada matlamat ekonomi digital Malaysia.
Baru-baru ini, Anuar mengetuai delegasi MDEC ke Johor untuk berbincang dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan pemimpin negeri lain bagi meneroka peluang kerjasama dan menyelaraskan inisiatif utama.
Beliau menyifatkan Johor sebagai negeri yang berpotensi besar dalam ekonomi digital, dengan lokasinya yang strategik serta dasar progresif yang menyediakan asas kukuh untuk inovasi dan pertumbuhan.
"Johor berpotensi menjadi hab serantau untuk pusat data, fintech (teknologi kewangan) dan kandungan digital, disokong oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan Hab Iskandar Animation and Games, menjadikannya berada pada kedudukan yang baik untuk menarik pelaburan antarabangsa dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi," katanya.
Pasukan MDEC akan kembali ke Johor dalam masa terdekat untuk perbincangan lanjut mengenai rancangan itu dengan fokus kepada tindakan konkrit bagi memacu inisiatif yang telah dikenal pasti, katanya.
Anuar berkata, MDEC juga komited untuk bekerjasama rapat dengan negeri lain bagi memastikan strategi ini membuahkan hasil dan memberi manfaat kepada perniagaan serta rakyat Malaysia.
"MDEC akan terus memainkan peranan dalam menarik syarikat-syarikat AI terkemuka untuk mewujudkan operasi di seluruh Malaysia.
"Kami juga giat mempromosikan syarikat teknologi Malaysia dan menyokong pengembangan mereka ke pasaran luar negara untuk tujuan eksport," katanya.
Statistik menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan yang baik sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN, dengan lima aliran masuk FDI tertinggi adalah dari Singapura, Amerika Syarikat, China, Australia dan India.
Berdasarkan Malaysia mempunyai tanah yang luas, tenaga kerja dan kedudukannya di tengah-tengah ASEAN, kluster pelaburan digital negara didorong oleh perkhidmatan perniagaan global (RM139 bilion), teknologi maklumat (RM23 bilion) dan kandungan kreatif (RM887 juta), mewujudkan lebih 48,000 pekerjaan bernilai tinggi.
Pelaburan utama yang masuk ke Lembah Klang berjumlah RM136 bilion, diikuti Johor (RM22 bilion), Pulau Pinang (RM3 bilion), Sabah (RM423 juta) dan Sarawak (RM280 juta), menurut MDEC. - BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)