KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang pada 4.6 peratus tahun ini, dipacu oleh peningkatan perbelanjaan dan pelaburan domestik di samping pengembangan berterusan dalam perdagangan luar, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Bank tersebut dalam satu nota penyelidikan berkata, pertumbuhan domestik yang lebih kukuh akan membantu ekonomi Malaysia mengharungi ketidaktentuan luaran seperti ketegangan geopolitik yang berterusan, pertikaian perdagangan dan dasar perlindungan yang boleh menjejaskan prospek perdagangan antarabangsa.

"Di peringkat domestik, kami memantau dengan teliti potensi kesan inflasi daripada perubahan dasar kerana kuasa beli yang lebih lemah boleh menjejaskan prospek perbelanjaan tidak wajib atau pilihan," kata MIDF.

Bank itu berkata pertumbuhan ekonomi Malaysia menyederhana kepada 4.8 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2024, turun daripada 5.3 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2024, selepas dua suku pertumbuhan melebihi lima peratus.

MIDF juga merujuk anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk pertumbuhan KDNK setahun penuh 2024 pada 5.1 peratus, meningkat daripada 3.6 peratus pada 2023, sedikit melebihi unjuran lima peratusnya.

"Sektor pembuatan meneruskan momentum pertumbuhannya tetapi menyederhana kepada 4.3 peratus tahun ke tahun, berbanding 5.6 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga 2024, sejajar dengan prestasi eksport dan peningkatan dalam sektor berorientasikan eksport seperti elektrik dan elektronik, kimia, produk kayu, mesin dan peralatan serta produk petroleum.

"Sektor pembinaan juga terus berkembang kukuh walaupun menyederhana sedikit kepada 19.6 peratus tahun ke tahun (suku ketiga 2024: 19.9 peratus tahun ke tahun) sekali gus menunjukkan kemajuan menggalakkan dalam projek pembangunan dan pembinaan," katanya.

MIDF juga berkata sektor perkhidmatan berkembang sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2024 (suku ketiga 2024: 5.2 peratus tahun ke tahun) yang meneruskan aliran menaiknya sejak suku keempat 2021, dipacu oleh peningkatan perbelanjaan domestik.

-- BERNAMA