KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasarkan jumlah perdagangan meningkat lima peratus pada 2025 daripada RM2.879 trilion dicatatkan pada tahun lepas.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, bagaimanapun berkata jika terdapat tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) atau sebarang langkah baharu daripada negara lain, ia akan memberi impak dan Malaysia tidak boleh menafikan hakikat itu.

"Secara objektif, saya perlu mengakui bahawa apabila kami membuat unjuran, kami perlu bertindak cepat, membolehkan unjuran tersebut disesuaikan.

"Sama seperti Bank Dunia, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), mereka akan sentiasa menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mereka atas sebab geopolitik, geoekonomi dan sebagainya," katanya pada sidang media mengenai Kad Laporan MITI 2024 dan Prospek 2025 di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata walaupun sasaran itu lebih rendah berbanding pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak sembilan peratus pada 2024, lima peratus masih merupakan pertumbuhan.

Bagaimanapun, disebabkan cabaran dan andaian dibuat dalam unjuran tersebut, katanya MITI menjangka pertumbuhan akan sejajar dengan pertumbuhan KDNK negara iaitu antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus.

-- BERNAMA