KUALA LUMPUR: Eksport minyak sawit Malaysia dijangka mengalami penurunan bermusim pada Januari dan Februari tahun ini, terutamanya disebabkan pengeluaran yang merosot, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

Dalam satu kenyataan pada Isnin, MPOC berkata, walaupun musim tengkujuh yang menyekat aktiviti penuaian mulai reda di Malaysia dan Indonesia pada minggu terakhir Disember 2024, kesan daripada tiga cuti umum pada Januari ini dijangka menyebabkan kurangnya hari penuaian dan output yang lebih rendah.

"Ini bertentangan dengan meningkatnya penggunaan minyak sawit pada Januari dan Februari berikutan sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan," katanya.

MPOC juga berkata, hala tuju harga minyak sawit pada 2025 akan banyak bergantung kepada dinamik bekalan eksport dari Malaysia dan Indonesia, bersama-sama dengan peralihan dasar di Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia.

Ia berkata, pengeluaran minyak sawit Malaysia dijangka kekal stabil pada 19.5 juta tan pada 2025, manakala Indonesia diunjurkan pulih kira-kira 2.0 juta tan, mencecah 48 juta tan.

"Bagaimanapun, pemulihan dalam pengeluaran di Indonesia akan sepenuhnya diserap oleh meningkatnya permintaan untuk pengadunan biodiesel B40. Sehubungan itu, bekalan eksport dari Malaysia dan Indonesia tidak mungkin mengalami pertumbuhan yang ketara," katanya.

MPOC menambah, sebelum 2024, inventori minyak sawit Malaysia sebahagian besarnya bergantung kepada import, dengan kira-kira 1.0 juta tan minyak sawit diimport dari Indonesia setiap tahun.

"Bagaimanapun, jumlah import merosot kepada 253,000 tan pada 2024, penurunan 72 peratus yang dicerminkan dalam paras stok rendah semasa.

"Trend ini dijangka berterusan dengan import pada 2025 diunjurkan kekal rendah. Hasilnya inventori minyak sawit Malaysia berkemungkinan kekal di bawah purata iaitu sekitar 1.7 juta tan pada suku pertama 2025, sebelum musim pengeluaran memuncak," katanya.

MPOC berkata, harga minyak sawit diunjurkan diniagakan antara RM4,250 dan RM4,550 setan pada suku pertama 2025.

Ia berkata, permintaan untuk minyak sawit dijangka meningkat selepas Mac, didorong oleh bekalan minyak bunga matahari yang terhad susulan eksport yang tidak menentu dari rantau Laut Hitam.

"Faktor utama yang mempengaruhi harga minyak sawit dalam beberapa bulan akan datang adalah ketersediaan bekalan eksport dari Malaysia dan Indonesia, serta dasar biobahan api yang berkembang di bawah pentadbiran Donald Trump dan Prabowo Subianto," tambahnya. - BERNAMA