KUALA LUMPUR: Pengeluaran gas asli Malaysia meningkat tiga peratus kepada 2,948.8 bilion kaki padu pada 2024, pulih semula daripada penurunan sebelumnya, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran gas asli pulih pada suku keempat 2024, meningkat 2.4 peratus tahun ke tahun kepada 792.8 bilion kaki padu selepas mencatatkan penurunan 2.7 peratus pada suku sebelumnya.

"Sementara itu, minyak mentah dan kondensat merekodkan pengeluaran sebanyak 45.7 juta tong, menunjukkan pertumbuhan namun masih berada dalam jajaran negatif dengan penurunan sebanyak 7.0 peratus berbanding 8.9 peratus pada suku sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Prestasi ini, katanya, disokong oleh penurunan minyak mentah yang lebih kecil kepada 9.6 peratus pada suku keempat 2024 daripada 14.2 peratus pada suku sebelumnya, dengan jumlah pengeluaran sebanyak 31.3 juta tong pengeluaran manakala kondensat menyusut 0.8 peratus berbanding 4.6 peratus pada suku ketiga 2024.

Mohd Uzir berkata, minyak mentah menyumbang 68.5 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak mentah dan kondensat, manakala kondensat menyumbang 31.5 peratus atau bersamaan dengan 14.4 juta tong.

"Secara suku tahunan, pengeluaran minyak mentah dan kondensat meningkat sebanyak 9.3 peratus pada suku keempat 2024 berbanding 9.3 peratus pada suku sebelumnya.

"Pertumbuhan itu dipacu oleh peningkatan kondensat pada 7.5 peratus naik daripada 3.2 peratus pada suku ketiga manakala gas asli berada pada 20.2 peratus, turun sebanyak 5.4 peratus daripada sebelumnya," katanya.

Jabatan Perangkaan berkata Purata Harga "Lifting" Berpemberat (WALP) bagi minyak mentah dan kondensat di Malaysia turun kepada AS$76.3 setong pada suku keempat 2024, menyusut daripada AS$82.0 setong pada suku sebelumnya. (AS$1 = RM4.46).

"Pengurangan harga ini, selaras dengan aliran penurunan global harga WTI dan Brent, yang masing-masing jatuh kepada AS$70.7 setong dan AS$74.6 setong, berbanding AS$76.2 setong dan AS$79.8 setong pada suku sebelumnya," kata Mohd Uzir.

Mengulas tentang prestasi perdagangan luar negara, Mohd Uzir berkata nilai eksport petroleum mentah dan kondensat meningkat kepada RM6.0 bilion pada suku keempat 2024 daripada RM5.9 bilion pada suku sebelumnya, dengan Thailand kekal sebagai destinasi utama eksport pada 2024 dengan nilai RM2.0 bilion atau 32.7 peratus diikuti Australia pada 21.8 peratus dan India pada 9.9 peratus.

"Sementara itu, nilai eksport keluaran petroleum bertapis susut kepada RM26.5 bilion pada suku keempat 2024 daripada RM27.9 bilion pada suku sebelumnya dengan RM5.9 bilion atau 22.3 peratus dieksport ke Singapura, Indonesia pada 22.0 peratus dan Australia pada 19.8 peratus.

"Nilai eksport gas asli cecair (LNG) meningkat kepada RM16.7 bilion daripada RM12.7 bilion, dengan Jepun merupakan pengimport terbesar sebanyak RM6.6 bilion atau 39.8 peratus dikuti Korea Selatan pada 30.2 peratus dan China pada 21.3 peratus," katanya.

Mengenai import, beliau berkata import petroleum mentah dan kondensat meningkat kepada RM15.1 bilion pada suku keempat 2024 daripada RM14.2 bilion pada suku sebelumnya dengan 41.1 peratus atau RM6.2 bilion diimport dari Arab Saudi, diikuti Emiriah Arab Bersatu pada 19.1 peratus dan Angola pada 9.5 peratus.

"Di samping itu, nilai import keluaran petroleum bertapis turun sebanyak RM25.4 bilion pada suku keempat 2024 daripada RM28.7 bilion pada suku sebelumnya dengan nilai import tertinggi iaitu RM9.1 bilion atau 35.7 peratus adalah dari Singapura, diikuti India pada 1.9 peratus dan Arab Saudi pada 9.2 peratus.

"Nilai import LNG berjumlah RM2.2 bilion pada suku keempat 2024, turun daripada RM2.8 bilion pada suku sebelumnya dengan majoriti 83.9 peratus atau RM1.9 bilion diimport dari Australia, diikuti Amerika Syarikat pada 8.4 peratus dan Mozambique pada 7.7 peratus," katanya.

-- BERNAMA