Bertambahnya risiko pengeluaran global yang disebabkan oleh perubahan iklim, keluasan yang semakin terhad, penyakit termasuk hasil minyak sawit yang rendah serta campur tangan kerajaan akan menyebabkan peningkatan ketidakstabilan harga.
Katanya, minyak sawit masih merupakan peneraju harga dan minyak sayuran yang paling dominan dengan jumlah eksport mencecah 55.4 juta tan.
Minyak sawit menyumbang sejumlah 56 peratus daripada eksport dunia pada Oktober/September 2019/2020.
"Eksport minyak sawit berada dalam trend menurun di seluruh dunia. Ini membimbangkan. Ia menyusut kepada 48.6 juta tan menjelang 2023/2024, turun hampir tujuh juta tan daripada kemuncak.
"Eksport minyak sawit terus menurun pada Oktober/Disember 2024 dan awal 2025," kata Mielke.
Beliau menekankan pertumbuhan pengeluaran minyak sawit yang tidak mencukupi termasuk kesukaran pengguna di negara membangun untuk memenuhi permintaan makanan mereka, telah mengakibatkan harga menjadi jauh lebih tinggi.
Mielke mengesyorkan perubahan dalam dasar kerajaan, terutamanya di Indonesia dalam membuka kawasan yang sesuai dan merangsang penanaman baharu kelapa sawit tetapi dengan cara yang lebih lestari.
Sejak lima tahun lepas, kawasan kelapa sawit matang di Malaysia mula merosot dan di Indonesia, ia hanya bertambah sebanyak 0.2 juta hektar setahun.
"Di seluruh dunia, dalam tempoh yang sama, kawasan kelapa sawit hanya menokok 0.4 juta hektar setahun, ini menjadi antara punca yang menyumbang kepada kekurangan bekalan minyak sawit global pada masa ini.
"Ini mencetuskan peningkatan harga di pasaran dunia dan merangsang pengembangan perluasan ladang biji minyak sebanyak 5.7 juta hektar setahun, yang mana kacang soya menyumbang kenaikan sejumlah 4.0 juta hektar setahun," katanya.
Mielke berkata, pertumbuhan yang semakin melonjak dalam sasaran penggunaan biodiesel dan diesel boleh baharu di Indonesia serta negara lain juga akan menjejaskan permintaan import global minyak sawit untuk makanan pada tahun-tahun akan datang.
Ini hanya boleh diimbangi jika hasil purata melonjak dengan ketara termasuk pembukaan ladang-ladang sawit baharu di Indonesia dan negara lain, tegasnya.
Mielke menggalakkan pihak berkepentingan industri minyak sawit untuk menangani cabaran dan kekangan ini yang merangkumi kekurangan penanaman semula; kelemahan dalam penguatkuasaan oleh pihak pengurusan mengenai amalan pertanian yang baik; ketidakcukupan bekalan benih berkualiti tinggi serta diperakui sehingga menjejaskan hasil dan serangan penyakit.
"Semua ini telah menyebabkan kejatuhan hasil, kenaikan kos pengeluaran dan penurunan daya saing berbanding minyak sayuran lain," kata beliau.
Mielke berkata, kekurangan dalam penanaman semula telah mengakibatkan kemerosotan profil usia kelapa sawit dengan anggaran 1.5 juta hektar kini diliputi dengan pokok yang lebih tua iaitu melebihi 19 tahun.
"Pokok yang lebih tua lebih terdedah kepada serangan ganoderma (sejenis kulat), yang juga telah mengekang produktiviti kelapa sawit.
"Kulat ini dilaporkan semakin merebak di Malaysia dan dinasihatkan bahawa langkah kebersihan yang betul perlu diambil tanpa berlengah-lengah," katanya sambil menambah kulat ini akan menjejaskan pengeluaran tandan buah segar, yang digunakan untuk menghasilkan minyak sawit, seterusnya, menurunkan hasil dan selepas beberapa tahun, pokok-pokok yang dijangkiti akan mati. - BERNAMA
