Ringkasan AI
- Jumlah permintaan penumpang global bagi Januari 2025 meningkat 10.0 peratus berbanding Januari 2024, dengan pertumbuhan kukuh di rantau Asia Pasifik. Kapasiti global meningkat 7.1 peratus tahun ke tahun, dan faktor beban mencapai 82.1 peratus, paras tertinggi sepanjang masa untuk bulan Januari.
- Permintaan antarabangsa meningkat 12.4 peratus berbanding Januari 2024, dengan kapasiti melonjak 8.7 peratus tahun ke tahun dan faktor muatan mencapai 82.6 peratus, rekod tertinggi untuk Januari. Permintaan domestik meningkat 6.1 peratus, dengan kapasiti menokok 4.5 peratus dan faktor muatan mencapai 81.2 peratus, satu lagi rekod untuk Januari.
- Pasaran kargo udara pada Januari 2025 menunjukkan peningkatan permintaan sebanyak 3.2 peratus berbanding Januari 2024, dengan kapasiti berkembang 6.8 peratus tahun ke tahun. Syarikat penerbangan di Asia-Pasifik menyaksikan pertumbuhan permintaan 7.5 peratus untuk kargo udara, dengan kapasiti meningkat 10.9 peratus tahun ke tahun.
IATA dalam satu kenyataan, ia berkata jumlah kapasiti, diukur dalam kilometer tempat duduk yang tersedia, melonjak 7.1 peratus tahun ke tahun.
"Faktor beban Januari mencapai 82.1 peratus, naik 2.2 mata peratusan berbanding Januari 2024), paras tertinggi sepanjang masa untuk bulan itu," katanya.
Bagi permintaan antarabangsa, ia meningkat 12.4 peratus berbanding Januari 2024 dengan kapasiti melonjak 8.7 peratus tahun ke tahun dan faktor muatan ialah 82.6 peratus (+2.7 mata peratusan), ia juga rekod tertinggi untuk Januari.
Sementara itu, IATA berkata permintaan domestik meningkat 6.1 peratus berbanding Januari 2024 manakala kapasiti menokok 4.5 peratus tahun ke tahun dan faktor muatan ialah 81.2 peratus (+1.2 mata peratusan), satu lagi rekod dicatat bagi Januari.
IATA berkata syarikat penerbangan di Asia-Pasifik merekodkan peningkatan 21.8 peratus tahun ke tahun dalam permintaan.
"Kapasiti naik 16.5 peratus tahun ke tahun dan faktor beban mencapai 86.7 peratus (+3.8 ppt), dipacu oleh trafik yang kukuh dari Asia Timur Laut," katanya.
Ketua Pengarah IATA Willie Walsh menekankan bahawa faktor beban yang mencatatkan paras tertinggi bersama permintaan kukuh itu merupakan satu lagi peringatan berkaitan isu rantaian bekalan yang berterusan dalam sektor aeroangkasa.
"Permintaan kukuh sejajar dengan tinjauan penumpang November 2024 kami yang terbaharu, di mana 94 peratus pengembara menunjukkan rancangan untuk melakukan perjalanan sebanyak atau lebih dalam 12 bulan akan datang berbanding tahun lepas.
"Syarikat penerbangan melakukan tugas baik untuk menampung permintaan yang semakin meningkat dalam persekitaran kekangan bilangan pesawat dan infrastruktur dengan tahap kepuasan melebihi 95 peratus, serta hampir 80 peratus pengembara bersetuju bahawa perjalanan udara adalah berbaloi," katanya.
Beliau juga berkata kira-kira 70 peratus lebih menyukai untuk membayar tambang terendah dan menyesuaikan perkhidmatan tambahan yang mereka perlukan.
Bagi pasaran kargo udara pada Januari 2025, IATA berkata jumlah permintaan, diukur dalam kargo tan bagi setiap kilometer (CTK) meningkat sebanyak 3.2 peratus berbanding paras Januari 2024 (3.6 peratus untuk operasi antarabangsa) menandakan pertumbuhan bulan ke-18 berturut-turut.
Sementara itu, kapasiti diukur dalam kargo yang tersedia tan bagi setiap kilometer, berkembang sebanyak 6.8 peratus tahun ke tahun (7.3 peratus untuk operasi antarabangsa).
Syarikat penerbangan di Asia-Pasifik menyaksikan pertumbuhan permintaan 7.5 peratus tahun ke tahun untuk kargo udara pada Januari manakala kapasiti meningkat sebanyak 10.9 peratus tahun ke tahun, kata IATA.
-- BERNAMA
