Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam kenyataan pada Jumaat berkata jumlah itu adalah lebih sekali ganda daripada capex 2024 iaitu sebanyak RM797.5 juta kerana syarikat itu mahu menumpukan kepada pelaburan semula keupayaannya.
"Perodua sudah melepasi kapasiti pengeluarannya dengan 368,100 kenderaan dikeluarkan pada 2024, iaitu melebihi kapasiti sebanyak 320,000 untuk kedua-dua kilangnya," katanya.
Beliau berkata jumlah itu berjaya dicapai dengan meminimumkan masa henti, mengikuti jadual penyelenggaraan, koordinasi dan perancangan dinamik dengan pembekal serta pengedar, selain cekap dalam menangani setiap cabaran.
Justeru, Zainal Abidin berkata Perodua akan memberi penekanan terhadap kemandirian syarikat itu dari segi keupayaan pengeluaran, terutamanya dalam membangunkan produk pada masa depan.
Katanya, pengeluar automotif kedua negara itu kini sedang mempercepatkan keupayaan kakitangannya untuk mencapai kemandirian yang lebih tinggi tetapi langkah itu akan menghasilkan jumlah pengeluaran dan jualan yang lebih rendah tahun ini.
"Pada 2025, kami menjangkakan jumlah pengeluaran merosot sebanyak 4.9 peratus kepada 350,000 unit daripada 368,100 unit yang dicatatkan pada 2024.
"Pengurangan ini akan menyaksikan penurunan jumlah pendaftaran sebanyak 3.7 peratus kepada 345,000 unit daripada 358,102 unit tahun lepas," katanya.
Zainal Abidin berkata walaupun terdapat penurunan dalam pengeluaran dan jualan, permintaan terhadap kenderaannya kekal memberangsangkan dengan tempahan tertunggak semasa kini mencecah 68,000 unit.
Mengenai perniagaan selepas jualan Perodua, beliau berkata syarikat itu menyasar untuk meningkatkan jumlah penyelenggaraan tahun ini kepada 3.7 juta kenderaan iaitu meningkat 7.6 peratus daripada 3.4 juta yang dicatatkan tahun lepas.
"Perodua akan terus menyokong ekosistem automotif negara dengan pembelian komponen tempatan dianggarkan berjumlah RM10.8 bilion daripada pembekal di Malaysia.
"Syarikat juga akan terus bekerjasama dengan kerajaan untuk meningkatkan keupayaan pembekal dan pengedar, termasuk meneroka potensi industri 4.0 dalam memaksimumkan kecekapan dalam operasi, mengendalikan latihan dan menyediakan bantuan lain bagi pertumbuhan yang mampan," katanya.
Beliau berkata, apabila perubahan itu lengkap sepenuhnya, Perodua akan mampu mengukuhkan kedudukannya di negara dan rantau ini.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)