Ketua Ahli Ekonomi AmBank Group Firdaos Rosli berkata pertumbuhan ini disumbangkan oleh beberapa faktor utama seperti pasaran buruh yang kukuh dengan kadar pengangguran 3.1 peratus dan inflasi terkawal 1.8 peratus.
Menurutnya keadaan ini telah menyokong penggunaan swasta, yang dapat dilihat menerusi peningkatan pembayaran kad kredit.
"Walaupun terdapat perubahan dari segi penawaran seperti penyesuaian kadar air, semakan semula cukai perkhidmatan dan rasionalisasi subsidi diesel, inflasi kekal rendah, justeru membuktikan pengurusan ekonomi dan fiskal yang berkesan tanpa menghalang pertumbuhan," katanya kepada Bernama.
Pertumbuhan KDNK setahun penuh ini adalah seiring dengan unjuran awal AmBank Group.
Firdaos berkata langkah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.00 peratus telah mewujudkan persekitaran kewangan yang stabil, yang memperkukuh pertumbuhan ekonomi.
"Kami mengunjurkan ia kekal stabil dalam tempoh yang belum ditetapkan," katanya.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata trajektori pertumbuhan Malaysia pada 2025 -- yang diunjurkan AmBank Group sebanyak 4.6 peratus -- akan bergantung kepada keseimbangan daya tahan domestik dengan cabaran luaran.
Penggunaan swasta, permintaan ketika musim perayaan dan kitaran pelaburan yang sedang berlaku menyediakan asas yang kukuh.
Bagaimanapun cabaran luaran -- seperti potensi tarif Amerika Syarikat dan perdagangan global yang perlahan akan mewujudkan risiko penurunan.
Selain itu, pertumbuhan gaji diunjur menggalakkan, dipacu oleh semakan semula gaji perkhidmatan awam pada Disember 2024 dan kenaikan gaji minimum.
"Langkah dasar strategik akan menjadi penting untuk meredakan cabaran ini, terutamanya dalam usaha untuk mempelbagaikan pasaran eksport.
"Walaupun prospek pertumbuhan Malaysia kekal positif, mengekalkan momentum akan memerlukan pandangan dan strategi bagi mengemudi landskap global yang tidak menentu," kata Firdaos.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan menyuarakan pendapat yang sama dengan menekankan bahawa persekitaran pelaburan Malaysia kekal teguh dengan sokongan daripada pelabur domestik dan asing.
Perjanjian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang dimeterai pada Januari 2025 mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan serantau manakala sasaran RM223 bilion oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar untuk tempoh 2024-2028 menunjukkan potensi pertumbuhan jangka panjang.
"Bagaimanapun, risiko pelaksanaan masih tinggi, memandangkan sebelum ini kadar pelaburan langsung asing yang direalisasikan agak ketinggalan berbanding komitmen, dan ini memerlukan dasar yang kukuh dan proses kelulusan yang lebih lancar," katanya.
Beliau berkata trajektori fiskal Malaysia adalah stabil, dengan sasaran pengurangan defisit sebanyak 3.8 peratus daripada KDNK dalam Belanjawan 2025.
Berkenaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, beliau berkata ia merupakan langkah positif, namun, keberkesanan langkah untuk memperoleh hasil yang dirancang, termasuk cukai dividen serta cukai jualan dan perkhidmatan yang diperluaskan, masih tidak dapat dipastikan.
Mohd Sedek berkata sekiranya perdagangan global menjadi perlahan, prestasi hasil yang kurang memuaskan boleh menjejaskan sasaran pengurangan defisit itu.
Katanya, meskipun dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, prospek penarafan kredit Malaysia masih kekal sensitif terhadap kejutan luaran.
Oleh itu, beliau melihat keupayaan kerajaan untuk menyeimbangkan penyatuan fiskal dengan dasar yang menyokong pertumbuhan akan menjadi kunci dalam mengekalkan keyakinan pelabur.
Beliau menekankan bahawa hala tuju ekonomi Malaysia pada 2025 akan mempunyai tiga keutamaan utama iaitu kepastian dasar, kepelbagaian perdagangan dan pengukuhan daya tahan domestik.
Menurutnya faktor-faktor ini penting untuk memastikan kestabilan dan mendorong pertumbuhan mampan.
Mohd Sedek berkata Malaysia, pada dasarnya memiliki kekuatan yang diperlukan untuk mengekalkan momentum ekonominya meskipun berdepan ketidaktentuan global.
Bagaimanapun, kejayaan jangka panjang negara akan bergantung kepada keupayaan untuk menyesuaikan dengan landskap ekonomi global yang sentiasa berubah, sama ada ia mampu untuk hanya bertahan menghadapi kejutan luaran atau lebih kuat daripada itu, katanya.
Pada bulan lepas, Malaysia mengumumkan eksport dan import kembali pulih kepada paras tertinggi sepanjang masa pada 2024, dengan jumlah dagangan mencecah RM2.88 trilion, meningkat 9.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, melepasi angka RM2 trilion untuk tempoh empat tahun berturut-turut.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)