Dari segi luaran, walaupun wujud turun naik bulanan, pertumbuhan eksport kekal berdaya tahan, disokong oleh tahap terendah dalam kitaran menurun eksport elektronik global.
"Di atas permintaan domestik, perbelanjaan isi rumah kekal kukuh, didorong oleh kenaikan gaji serta pengukuhan pasaran buruh. Perbelanjaan pelaburan juga akan dipacu oleh rancangan pembaharuan jangka sederhana, yang melimpahi dalam pelaburan sektor swasta," katanya lagi.
"Faktor-faktor ini akan lebih mengimbangi penjimatan dalam perbelanjaan kerajaan, mencerminkan agenda penyatuan fiskal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata lebihan dagangan akan mula stabil pada 2025 kecuali terdapat kejutan daripada tarif serta dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS).
"Lebihan perdagangan yang normal, digabungkan dengan ketibaan pelancong yang masih kukuh, menunjukkan bahawa lebihan akaun semasa akan dikekalkan," jelasnya.
Lavanya berkata data tahun ke tarikh semasa 2024 setakat ini menonjolkan bahawa ketibaan pelancong telah menghampiri tahap pra-pandemi dan pelancongan dari China, jauh mendahului tahap pra-pandemi untuk Malaysia.
"Pelancong dari China berjumlah tiga juta dari tahun ke November 2024, jauh di atas paras pra-pandemi, tetapi masih lebih rendah berbanding Singapura (3.2 juta), Vietnam (3.7 juta) serta Thailand (7.6 juta), mencadangkan lebih banyak ruang bagi memanfaatkan aliran masuk pelancong dari China," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata subsidi RON95 dijangka dirasionalkan menjelang Julai 2025, dengan harga meningkat 20 hingga 25 peratus bermula bulan itu.
"Kami menganggarkan penjimatan fiskal sebanyak 0.5 peratus daripada KDNK. Ini sama dengan anggaran rasmi RM8 bilion atau 0.4 peratus daripada KDNK dalam penjimatan," katanya lagi.
Lavanya menegaskan bahawa terdapat dasar inflasi yang sedang dirancangkan termasuk menaikkan harga RON95 mulai pertengahan 2025; 13.3 peratus kenaikan gaji minimum dari Februari 2025 selain 7-15 peratus peningkatan gaji kakitangan awam berkuat kuasa Disember 2024.
"Secara khusus, jika rasionalisasi RON95 dilaksanakan seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025, kami menganggarkan purata inflasi adalah lebih tinggi kepada 2.7 peratus tahun ke tahun pada 2025 berbanding 1.8 peratus pada 2024," katanya.
Sementara itu, beliau berkata jangkaan garis dasar OCBC ke atas Bank Negara Malaysia (BNM) adalah bank itu akan mengekalkan kadar dasarnya tidak berubah pada 3.00 peratus tahun ini.
"Kami meramalkan BNM akan berwaspada terhadap keterlaluan inflasi. Keutamaan lepas menonjolkan bahawa BNM biasanya membuat perubahan pada kadar dasar berdasarkan keadaan inflasi yang dipacu permintaan, dan bukannya didorong oleh penawaran.
"Bagaimanapun, sekiranya tekanan inflasi menjadi berterusan serta berleluasa, kami tidak menolak kemungkinan BNM akan meningkatkan kadar dasar pada 2025," katanya.
Kerajaan menyasarkan untuk mengecilkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus daripada KDNK pada tahun ini berbanding 4.3 peratus daripada KDNK pada 2024 dengan andaian bahawa hasil akan berkembang sebanyak 5.5 peratus dari tahun ke tahun pada 2025 (berbanding 2.3 peratus dalam anggaran belanjawan 2024 yang disemak) dan perbelanjaan akan menokok sebanyak 3.3 peratus dari tahun ke tahun selepas kekal tidak berubah semasa tahun lepas.
-- BERNAMA