KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menafikan dakwaan bahawa syarikat minyak dan gas nasional itu akan memberhentikan kira-kira 16,000 pekerja.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik menegaskan, saiz penyusunan semula atau 'right-sizing' sedang diteliti oleh pasukan petugas dan dijangka diselesaikan pada pertengahan tahun ini.

Selepas ia dimuktamadkan, beliau berkata pengstrukturan organisasi Petronas akan dilaksanakan secara berfasa.

“Saya ingin menyatakan dengan jelas. Sekali lagi, saya ingin menekankan bahawa ini bukanlah satu tindakan untuk ‘memecat’ 15,000 hingga 16,000 pekerja, tidak sama sekali. Kami akan berhati-hati (dalam melaksanakan penyusunan semula).

“Kami akan melakukannya secara terstruktur dan orang-orang yang terjejas atau dipindahkan, kami akan menangani mereka dengan hormat dan adil,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pengumuman Prestasi Kewangan Kumpulan Petronas, di sini pada Selasa.

Tengku Muhammad menambah, semua pihak perlu menghentikan spekulasi tersebut kerana mustahil untuk Petronas beroperasi, jika kira-kira 16,000 pekerja mereka dibuang yang melibatkan pelbagai jabatan.

Malah beliau menambah, jika Petronas memutuskan untuk menyusun semula keseluruhan tenaga kerja, semua peringkat pengurusan akan diambil kira.

Tegas beliau, Petronas tidak akan melindungi pengurusan atas, dan  menjejaskan pekerja bawahan.

“Pihak yang pertama sekali akan terjejas adalah daripada kalangan pengurusan.

“Persekitaran industri, operasi, makroekonomi, geopolitik, peraturan, semuanya berubah, bukan hanya di sini tetapi di seluruh dunia.

“Jadi, apakah tenaga kerja yang sesuai untuk itu? Jadi, kami sudah tentu akan menghormati dan akan menangani staf kami terlebih dahulu. Dan saya ingin mengulanginya sekali lagi.

“Saya perlu katakan, ada yang mengatakan ini adalah langkah ‘perlindungan’, di mana pengurusan atasan akan dilindungi, sementara pekerja bawahan akan terjejas,” kata beliau.

Sebelum ini, Muhammad Taufik berkata, langkah penyusunan semula Petronas adalah untuk memastikan syarikat minyak nasional itu dapat terus menyumbang kepada pembangunan negara.

Dilaporkan pada masa ini, Petronas mempunyai tenaga kerja seramai 52,000 orang dan 16,000 daripadanya adalah pemangkin utama.