KUALA LUMPUR: PMB Investment Bhd mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 1.00 sen seunit bagi PMB Shariah Global Equity Fund untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Jan, 2025 yang berjumlah RM106,896.25.

Dalam kenyataan semalam, syarikat pengurusan dana Islam (IFMC) di bawah Pelaburan MARA Bhd itu berkata agihan berkenaan telah dikreditkan kepada pemegang unit berdasarkan tarikh selepas 31 Jan, 2025, dengan tarikh pelaburan semula ditetapkan pada 1 Feb, 2025.

"Pengagihan ini mewakili hasil sebanyak 1.80 peratus untuk tahun kewangan berkenaan dengan mencatat pulangan keseluruhan sebanyak 2.66 peratus dalam tempoh sama," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan Hang Tuah Amin Tajudin berkata pulangan memberangsangkan sebanyak 23.75 peratus dalam tempoh tiga tahun berakhir pada 31 Jan, 2025 menunjukkan PMB Shariah Global Equity Fund konsisten dalam memberikan hasil yang kukuh.

"Ini mencerminkan daya tahan dana ini dan keupayaannya mengharungi keadaan pasaran global yang dinamik dengan berkesan," katanya.

Dalam pada itu, PMB Investment berkata dana itu bertujuan mencapai pertumbuhan modal jangka sederhana hingga panjang menerusi pelaburan dalam portfolio pelbagai sekuriti patuh syariah yang tersenarai di pasaran global.

Menurutnya dalam keadaan biasa, dana ini memperuntukkan 70-99.5 peratus daripada nilai aset bersih (NAV) kepada ekuiti patuh syariah dan sekuriti berkaitan ekuiti dengan baki dilaburkan dalam instrumen pasaran wang Islam, deposit Islam dan pelaburan patuh syariah lain.

-- BERNAMA