Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.1 peratus pada 2024, meningkat daripada 3.6 peratus pada 2023, disokong oleh pengembangan berterusan permintaan dalam negeri dan pemulihan eksport.
Pada 6 petang, ringgit meningkat 225 mata peratusan kepada 4.4310/4385 berbanding dolar AS daripada paras 4.4535/4600 pada Khamis.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata perkembangan terkini ini telah meningkatkan sentimen positif terhadap mata wang tempatan.
"Ia akan mendorong BNM untuk mengekalkan kadar dasar semalaman kerana bank pusat perlu memastikan bahawa inflasi berada dalam lingkungan 2.0 peratus hingga 3.5 peratus.
"Bank pusat lain di rantau Asia telah mula mengurangkan kadar faedah manakala BNM mengekalkannya. Jadi, ia boleh menarik peniaga dan pelabur untuk membeli ringgit," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam juga berkata ringgit terus mengekalkan aliran menaiknya berbanding dolar AS selepas Presiden AS Donald Trump mengarahkan senarai tarif timbal balik disediakan.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 2.9048/9099 daripada 2.8917/8961, susut berbanding euro kepada 4.6437/6515 daripada 4.6419/6487 dan berkurangan berbanding pound Britain kepada 5.5769/5863 daripada 5.5615/5696 sebelumnya.
Unit tempatan juga ditutup kebanyakannya rendah berbanding mata wang negara-negara ASEAN lain.
Ringgit turun berbanding rupiah Indonesia kepada 272.6/273.2 daripada 272.1/272.7 pada Khamis, susut berbanding baht Thailand kepada 13.1761/2059 daripada 13.1644/1906 dan berkurangan berbanding dolar Singapura kepada 3.3055/3113 daripada 3.2999/3049 sebelumnya.
Bagaimanapun ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.66/7.68 daripada 7.67/7.68 pada Khamis.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)