Ahli Lembaga Pengarah Ahmad Jauhari Yahya berkata pembinaan fasa pertama kilang itu dijangka siap menjelang akhir tahun 2025, dengan kapasiti pengeluaran awal dijangka sebanyak 20,000 unit setahun.
"Pembinaan kilang pemasangan baharu ini sentiasa menjadi usaha besar dalam industri automotif, dengan impak yang meluas terhadap pekerja, pembekal, dan pelbagai pihak berkepentingan.
"Namun, kilang ini akan berbeza dari sudut teknologi. Ia direka khusus untuk memasang kenderaan tenaga baharu, seperti e.MAS 7," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah kilang itu yang dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Dr Li Chunrong dan Timbalan CEO Roslan Abdullah.
Selesai pembinaan, kilang ini akan menghasilkan pelbagai model berdasarkan platform Struktur Modular Global (GMA), bermula dengan Proton e.MAS 7, model EV pertama Proton.
Ia juga menandakan lonjakan besar dalam keupayaan Proton untuk memasang pelbagai model, daripada kenderaan elektrik bateri tulen (BEV) hingga ke plug-in hybrid dan EV penjana jarak jauh, kata Jauhari.
"Dengan gabungan keupayaan pemasangan sedia ada, fasiliti baharu ini akan membolehkan Proton menawarkan pelbagai jenis kenderaan menggunakan pelbagai penyelesaian tenaga kepada pelanggan. Malah, beberapa model baharu yang menarik kini sedang dalam perancangan," katanya.
Proton menjangkakan lebih 200 pekerjaan baharu dapat diwujudkan dalam perindustrian EV dan perkhidmatan teknikal untuk komuniti tempatan meskipun kilang baharu ini menggunakan operasi pengeluaran pintar.
Ini belum termasuk kesan kepada vendor AHTV apabila mereka meningkatkan operasi untuk membekalkan bahagian-bahagian penting bagi pemasangan.
Proton juga merancang untuk pembinaan fasa kedua kilang pengeluaran barunya sebagai persediaanuntuk penerimaan dan permintaan EV yang semakin meningkat.
Kilang ini akan meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 45,000 unit setahun dan akan dilaksanakan berdasarkan permintaan daripada pembeli di pasaran Malaysia dan luar negara.
-- BERNAMA