Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.4230/4375 berbanding dolar AS daripada 4.4320/4385 semasa ditutup pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS dilihat berada dalam keadaan optimum pada masa ini, dan senario ini akan menimbulkan cabaran kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit.
"Sehubungan itu, ringgit boleh menghampiri paras rintangan segera pada RM4.45 hari ini," katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata beberapa wakil Fed memaklumkan penurunan kadar faedah perlu dirancang dengan berhati-hati berikutan dasar semasa AS mengenai tarif, cukai dan imigresen.
"Mereka sebahagiannya turut melihat bahawa Kadar Dana Fed semasa semakin menghampiri kadar neutral - iaitu kadar yang tidak menguncup mahupun mengembang," katanya.
Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) dilihat mencecah paras tertinggi 108.076 mata sebelum berada pada 107.696.
Selain itu, Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent turut mengulangi pendirian kerajaan AS mengenai dasar kekukuhan dolar untuk kekal teguh, kata Mohd Afzanizam.
Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.
Ringgit lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.5009/5189 daripada 5.5090/5171 semasa ditutup pada Khamis.
Bagaimanapun mata wang tempatan itu merosot berbanding euro kepada 4.5933/6083 daripada 4.5920/5987 semalam dan susut berbanding yen Jepun kepada 2.9245/9345 daripada 2.9036/9080 sebelum ini.
Mata wang tempatan turut diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.0912/1462 daripada 13.1175/1433 semasa ditutup semalam, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 270.6/271.6 daripada 271.2/271.7 ketika ditutup pada Khamis dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.60/7.63 daripada 7.62/7.63 sebelumnya.
Bagaimanapun, mata wang tempatan itu diniagakan rendah berbanding dolar Singapura, menyusut kepada 3.2758/2868 daripada 3.2742/2793 sebelumnya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)