KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga Jumaat dengan lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang juga bagi hari keempat berturut-turut ketika pelabur meneliti semula kedudukan masing-masing susulan pengumuman data ekonomi negara maju itu yang lebih lemah, kata penganalisis.

Pada 8 pagi ini, ringgit diniagakan pada paras 4.4900/5050 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.5005/5050 yang dicatatkan semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pada masa ini, pasaran masih bercampur-campur berikutan prospek peningkatan inflasi yang ketara dengan jangkaan pendekatan bakal diperkenalkan oleh pentadbiran baharu AS bagi mengawal keadaan itu.

"Indeks Dolar AS (DXY) terus susut kepada 108.957 mata manakala hasil Perbendaharaan 10 tahun AS pula turun empat mata asas kepada 4.61 peratus. Ini menunjukkan peserta pasaran menjangkakan Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengekalkan pelonggaran dasar monetari seperti yang dirancang.

"Data-data ekonomi terkini juga kelihatan menyokong pandangan itu dengan Jualan Runcit AS bagi Disember pada 0.4 peratus bulan ke bulan adalah rendah daripada jangkaan awal sebanyak 0.6 peratus," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, tuntutan pengangguran juga lebih tinggi daripada jangkaan pasaran iaitu 217,000 pada minggu lepas berbanding sasaran ramai atau konsensus pada 210,000.

"Calon Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent menyokong untuk menjadikan langkah-langkah pemotongan cukai 2017 kekal yang mungkin membawa kepada permintaan yang kukuh. Oleh itu, ringgit akan terus menunjukkan angka dalam julat ketat bagi masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pengumuman data inflasi United Kingdom (UK) dan AS yang lebih lemah menjadikan kebimbangan pasaran sebelum ini dilihat sebagai berlebihan atau kurang tepat.

Beliau berkata, angka Indeks Harga Pengguna (IHP) kedua-dua negara itu hanya mengukuhkan lagi pandangan bahawa tekanan asas inflasi semakin mereda.

Keadaan itu, katanya, mungkin akan menyebabkan pihak Bank of England dan Fed meneruskan agenda mengurangkan kadar faedah pada tahun ini.

Innes berkata, ketidaktentuan global itu diburukkan lagi dengan pengukuhan yen Jepun didorong oleh peningkatan jangkaan kenaikan kadar Bank of Japan seawal minggu depan.

"Faktor kenaikan yen itu juga didorong oleh penurunan mendadak hasil bon global yang telah mengecilkan perbezaan hasil dengan Jepun yang hanya menjadikan aset yen dilihat lebih menarik.

"Peralihan ini berlaku selepas permulaan tahun yang kurang memberangsangkan untuk pasaran bon global dengan kebimbangan terhadap peningkatan inflasi terus ketara," katanya.

Dalam pada itu, ringgit turut dibuka mengukuh berbanding mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.6247/6402 daripada 4.6283/6329 semalam dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8889/8990 daripada 2.8914/8945, namun susut berbanding pound Britain kepada 5.4926/5110 daripada 5.4888/4943 pada akhir dagangan semalam.

Prestasi ringgit juga mengukuh berbanding mata wang ASEAN apabila meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2841/2955 daripada 3.2906/2941 dan naik berbanding peso Filipina pada 7.66/7.69 daripada 7.68/7.69.

Berbanding rupiah Indonesia, ringgit diniagakan mengukuh pada 274.1/275.2 daripada 274.7/275.2, semalam namun susut berbanding baht Thailand pada 12.9795/13.0315 daripada 12.9941/13.0127 pada akhir urus niaga semalam. - BERNAMA